RM100 – “Lebih baik dari tiada langsung”

Admin

LIM Guan Eng membantu Teh Ewe Chan bergerak menggunakan kerusi rodanya.
LIM Guan Eng membantu Teh Ewe Chan bergerak menggunakan kerusi rodanya.

GEORGE TOWN – “Lebih baik dari tiada langsung,” merupakan ungkapan ringkas seorang golongan kelainan upaya (OKU) yang merupakan salah seorang penerima wang RM100 pada Majlis Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal dan OKU kumpulan pertama yang diadakan di Dewan Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.

Penerima OKU, Teh Ewe Chan, 44, menyatakan bahawa sumbangan yang diterima tidaklah banyak namun, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menjaga kebajikan rakyat terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Lebih baik dari tiada langsung. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” ujar beliau ringkas ketika ditemui oleh wartawan Buletin Mutiara di sini baru-baru ini. Beliau merupakan seorang pesakit strok sejak tahun lalu dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Bagi membela kebajikan seluruh rakyat negeri ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk melanjutkan Program Penghargaan Warga Emas yang memberikan sumbangan RM100 kepada semua warga emas berusia 60 tahun dan ke atas kepada ibu tunggal serta OKU di negeri ini.

Dalam pada itu, seramai 150 ibu tunggal dan OKU di daerah Timur Laut telah menjadi kumpulan penerima pertama program berkenaan di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Ibu tunggal, Gorpal Kaur, 43, yang bersyukur dengan pemberian tersebut berharap program-program sebegini dapat diadakan setiap tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Beliau yang menetap di Air Putih dan tidak bekerja mempunyai empat anak turut. Beliau turut menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

ROSZIAH Mohd. Ismail ditemani anaknya.
ROSZIAH Mohd. Ismail ditemani anaknya.

Menurut seorang lagi ibu tunggal, Rosziah Mohd. Ismail, 48, beliau tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Ini kali pertama saya diberi bantuan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga merupakan seorang surirumah dan mempunyai empat orang anak.