Bunuh karektor pelajar 16 tahun bukti Umno bankrap politik – Mansor

Admin

GEORGE TOWN – Fitnah melampau yang dilemparkan kepada anak Ketua Menteri Pulau Pinang Y.A.B Tuan Lim Guan Eng membuktikan bahawa pihak pembangkang bankrap politik dalam menyerang Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, tindakan terdesak Umno itu sekaligus membuktikan mereka gagal menolak keberkesanan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan kebajikan rakyat.

“Dia baru 16 tahun, mengapa jadi mangsa politik mereka,”

“Inilah cara mereka, fitnah seorang pelajar sekolah dengan bunuh karektor si ayah (Guan Eng) cukup melampaui batas rasional seorang manusia,” ujar beliau pada sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Bagi beliau, insiden tersebut sekaligus turut mencemarkan perayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang dijadualkan Sabtu ini.

“Saya berharap Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak berdiam diri,” tegas beliau.

“Bagaimana tema ‘Menjana Karisma Kanak-Kanak’ nak direalisasikan kalau pembunuhan karektor jadi budaya pemimpin-pemimpin Umno sendiri,” soal beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lain turut hadir menyatakan bantahan kepada pihak pembangkang.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin antara yang menuduh anak Guan Eng meraba buah dada seorang pelajar perempuan.

Bagaimanapun, gambar ‘misteri’ pelajar itu yang didedah di blog-blog Umno dikesan palsu serta fitnah.

Perkembangan terbaru dijangka akan terus menjalar imej Barisan Nasional di sisi rakyat