PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan RM105.33 juta menerusi Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Pulau Pinang (TPM80PP) sejak 2013 bagi melaksanakan 1,111 kerja penyelenggaraan perumahan strata di negeri ini.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, peruntukan berkenaan membolehkan pelbagai kerja penyelenggaraan dilaksanakan, sekali gus membantu Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) mengurangkan beban kos penyelenggaraan di kawasan perumahan masing-masing.
“Daripada keseluruhan kerja yang diluluskan, sebanyak 575 projek sudah dilaksanakan membabitkan kerja menaik taraf atau menggantikan lif dengan peruntukan RM52.36 juta, manakala 385 kerja pula membabitkan penggantian tangki air atau menaik taraf sistem perpaipan dengan kos RM28.08 juta.
“Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap aspek penyelenggaraan perumahan strata kerana ia penting bagi memastikan penduduk dapat menikmati persekitaran kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti.
“Melalui TPM80PP, kita bukan sahaja membantu JMB dan MC menangani masalah penyelenggaraan, malah memastikan kemudahan asas di kawasan perumahan terus berada dalam keadaan baik untuk manfaat penduduk,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Penyerahan Surat Kelulusan Kerja-Kerja Pembaikan Empat Unit Tangki Air Bocor serta Lain-Lain Kerja Berkaitan di Blok D1, Taman Teluk Indah Satu, di sini pada 22 Ogos 2026.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Norhisham Ramli.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa sebanyak 72 kerja lagi membabitkan penggantian atau menaik taraf bumbung turut diluluskan dengan peruntukan RM10.39 juta.
“Ini turut ditambah dengan 41 kerja pengecatan membabitkan RM10.12 juta, manakala antara kelulusan kerja yang dilaksanakan adalah kerja penurapan jalan, pemasangan dinding bata atau pagar ‘anti-climb’.
“Selain itu, ia turut membabitkan kerja membaiki keretakan, pemasangan railing atau jeriji tangga, kerja berkaitan bencana serta penyelenggaraan elektrik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut menjelaskan bahawa bagi KADUN Perai, sebanyak lapan projek membabitkan tiga skim perumahan telah diluluskan dengan jumlah peruntukan RM1.77 juta.
“Perhatian terhadap kerja penyelenggaraan perumahan strata perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus kepada keperluan rakyat, khususnya dalam memastikan kemudahan dan persekitaran perumahan sentiasa berada pada tahap yang baik.
“Malah, kerjasama antara Kerajaan Negeri, JMB dan MC amat penting supaya setiap permasalahan penyelenggaraan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sebaiknya,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut meluluskan projek membaiki empat unit tangki air yang bocor serta kerja berkaitan di Blok D1, Taman Teluk Indah Satu, Perai, yang membabitkan kos keseluruhan RM301,720.
“Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh 12 minggu dan daripada jumlah itu, 80 peratus atau RM241,376 dibiayai oleh kita (Kerajaan Negeri) menerusi program TPM80PP.
“Baki kos 20 peratus yang berjumlah RM60,344 pula akan ditanggung JMB atau MC dan dalam hal ini, saya memuji kebertanggungjawaban JMB serta masyarakat di Taman Teluk Indah Satu yang sentiasa peka untuk membayar segala keperluan kos penyelenggaraan di kawasan ini,” katanya.
Untuk rekod, Blok D1, Taman Teluk Indah Satu, Perai merupakan bangunan rumah pangsa yang siap sepenuhnya pada tahun 2000. Ia mempunyai dua blok bangunan setinggi 21 tingkat dengan keseluruhan 996 unit kediaman.
Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN