AMPANG, SELANGOR – Skuad Mobile Legends (ML) Wanita Pulau Pinang kini menjadi tumpuan utama dan harapan terakhir kontinjen negeri untuk merangkul pingat emas serta mengubah kedudukan carta keseluruhan acara e-sukan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor.
Tumpuan kini terarah kepada pentas akhir yang menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan wanita Pulau Pinang dengan tuan rumah, Selangor.
Kedudukan semasa terikat 1-1 selepas Pulau Pinang bangkit memenangi pusingan kedua, sekali gus memaksa saingan ditentukan menerusi format ‘best-of-five’.
Pulau Pinang perlu meraih tiga kemenangan untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara sekali gus memungut pingat emas bagi acara tersebut.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Pulau Pinang, Mohamad Khir Md. Noor menjelaskan bahawa kemenangan skuad wanita ini amat kritikal kerana mampu mengubah kedudukan carta keseluruhan acara e-sukan yang ketika ini menyaksikan Pulau Pinang berada di tangga kedua di belakang Selangor.
Sebelum ini, menurutnya, Pulau Pinang telah membuktikan dominasi menerusi acara e-catur dengan mengumpul dua pingat emas dan satu gangsa.
Sementara itu, perjuangan skuad bola sepak elektronik (e-football) lelaki Pulau Pinang berakhir di kedudukan kelima selepas langkah mereka terhenti pada peringkat suku akhir di Dewan Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati, di sini.
Cabaran kategori solo menyaksikan Adam Harith Hairil Anuar dan Muhammad Khaidhir Abdul Qadir akur tewas selepas memberikan tentangan sengit.

Nasib sama turut menimpa kategori ‘co-op 2v2’ apabila gandingan Mohamad Adythia Rahman Abd. Samad dan Muhammad Irsyad Sidek tewas 0-2 kepada pasangan Wilayah Persekutuan.
Jurulatih bola sepak elektronik lelaki negeri, Muhammad Nabil Ilham Mohd. Nazi (Billy), yang ditemui kemudian antara lain memuji komitmen serta semangat juang tinggi barisan atlet muda negeri meskipun sasaran awal Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) untuk meraih pingat menerusi kategori lelaki tidak kesampaian.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB