RM12 juta setiap tahun bagi pemerkasaan modal insan Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Persendirian dan Sekolah Tamil, bagi tujuan pemerkasaan modal insan di negeri ini.

Jumlah tersebut termasuk pembinaan sebuah bangunan baharu tiga tingkat bernilai RM1.3 juta di Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, Permatang Pauh.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri prihatin terhadap perkembangan pendidikan semua aliran di Pulau Pinang.

“Serentak itu, Kerajaan Negeri turut menyumbang kepada pembinaan Sekolah Terencat Akal di Sungai Ara melibatkan kos RM10 juta, dan pada masa sama Kerajaan Negeri turut akan menyumbang sebanyak RM15 juta untuk pembinaan sebuah sekolah agama iaitu Al-Itqan bertempat di Teluk Kumbar,” ucapnya pada Majlis Penyerahan Replika Cek Kepada Sekolah-Sekolah Cina dan Mubaligh Tahun 2020 di Auditorium A, Komtar dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Chong Eng merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri; para pengerusi lembaga pengarah sekolah-sekolah;  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG); para pengetua dan guru besar sekolah-sekolah.

Pada majlis tersebut, sejumlah RM8.302 juta disalurkan kepada 87 sekolah berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah meluluskan pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tun Dr. Lim Chong Eu di Alma, Bukit Mertajam melalui sepucuk surat kepada yang diterima pada 10 Januari lalu.

Justeru, tambah beliau, pihak Kerajaan Negeri sedang mencari sebidang tanah bersesuaian di kawasan Alma sebelum memaklumkan kepada pihak KPM bagi tujuan pembinaan SJKC terbabit.

“Sekarang kita perlu sediakan sebidang tanah sama ada tanah Kerajaan Negeri ataupun tanah daripada pemaju yang berhasrat membina projek, yang mana memerlukan mereka menyerahkan sebidang tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Jadi itu antara situasinya, atau Kerajaan Negeri boleh mencari pemaju yang mampu menyediakan tanah yang memenuhi kehendak kita.

“Mana-mana pemaju yang bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, boleh memaklumkan perkara tersebut kepada YB Chong Eng… mungkin pembinaan sekolah tersebut juga mampu memberi nilai tambah kepada projek pembangunan yang ingin dijalankan,” ujarnya Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan & Komunikasi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : DARWINA MOHD. DAUD