RM13.3 bilion pelaburan sehingga Sept. 2019, cipta 15,013 peluang pekerjaan baharu – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Sejumlah RM13.3 bilion pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ke Pulau Pinang bagi tempoh bulan Januari hingga September tahun ini (Q3 2019) atau menyamai 247 peratus peningkatan berbanding keseluruhan pelaburan yang diterima sepanjang tahun 2018, iaitu RM5.8 bilion.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan sebanyak 113 projek pelaburan dalam sektor pembuatan berjaya dihimpunkan di Pulau Pinang dengan mencipta kira-kira 15,013 peluang pekerjaan yang baharu.

“Pulau Pinang telah menyumbang 23 peratus bagi keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan di Malaysia bagi tempoh tersebut, dengan RM13.3 bilion pelaburan yang diluluskan (oleh MIDA) merupakan di kedudukan kedua tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di Komtar, 3 Disember 2019.

Turut serta, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Ketua Pegawai Eksekutif investPenang, Dato’ Loo Lee Lian.

Daripada angka pelaburan RM13.3 bilion ke negeri ini, Kon Yeow memberitahu, RM12.0 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor pembuatan.

“Pulau Pinang berjaya menarik RM12.0 bilion FDI dalam sektor pembuatan, menyamai 30.6 peratus keseluruhan FDI bagi sektor pembuatan Malaysia,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Tambah beliau, FDI utama ke negeri ini adalah daripada syarikat dari Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom (UK) seperti Micron Technology, Jabil Circuit, Smith+Nephew dan sebagainya.

“Pulau Pinang meneruskan usaha untuk menguatkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan para pelabur walaupun perkembangan keadaan ekonomi global adalah tidak menentu, termasuk disebabkan oleh perang dagangan antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan untuk membawa masuk pelabur berkualiti tinggi dan berteknologi tinggi dengan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi serta sesuai dengan industri negeri.

“(Kerajaan) Negeri komited untuk memperkuat usaha kami untuk saling bekerjasama dengan pelabur baharu dan pelabur sedia ada untuk pertumbuhan jangka panjang (ekonomi negeri),” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD