RM150 juta peruntukan RTB Pusat ke P. Pinang dialu-alukan – KM Exco harap projek laksana pertengahan tahun 2017

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat akhirnya meluluskan peruntukan sejumlah RM150 juta untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, selepas tujuh kejadian banjir direkodkan melanda bahagian pulau dalam tahun ini sahaja.

Sambil mengalu-alukan peruntukan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat bersama-sama menangani dan menyelesaikan dengan segera masalah banjir.

“Kita tidak mahu berpolitik tentang masalah banjir, sebaliknya ingin selesaikannya dan berharap RTB Sungai Pinang dapat disiapkan,” katanya pada sidang media di sini 8 November lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa kelulusan peruntukan RM150 juta (yang diumumkan kelulusannya pada 7 November 2016 oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen) tersebut walaupun bukan 100 peratus, ia sekurangkurangnya dapat ‘mulakan’ RTB Sungai Pinang.

“Kerana kekangan kewangan, (Kerajaan Pusat) tidak boleh bagi 100 peratus (RM350 juta) sepertimana diminta oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran).

“Kami (Kerajaan Negeri) mengalualukan peruntukan RM150 juta sedemikian, memang ia (RM150 juta) tidak mencukupi, tapi sekurang-kurangnya kita boleh memulakan projek (RTB),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Bercakap pada sidang media sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr. Wan Junaidi yang mengumumkan peruntukan RM150 juta tersebut.

Menurutnya, JPS Negeri bakal mengemukakan semula pelan reka bentuk, laporan penyiasatan tapak serta melantik jurutera perunding berwajib berdasarkan peruntukan RM150 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat bagi projek RTB Lembangan Sungai Pinang sesegera mungkin.

“Kerajaan Negeri berharap kerja-kerja tebatan banjir yang menelan belanja RM125 juta serta RM25 juta lagi untuk memulihara sungai dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun 2017.

“Kita merasakan projek ini amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada insiden banjir. “Projek ini diharapkan akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun 2017,” ujar beliau.

Tambah Kon Yeow, Dr. Wan Junaidi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui JPS masih boleh memohon peruntukan tambahan RTB kelak, selepas projek ini siap.

“Beliau (Dr. Wan Junaidi) menyatakan bahawa selepas laksana, jika tidak cukup, maka peruntukan boleh dipohon dalam Rancangan Malaysia (RMK) seterusnya.

“Kita tidak akan putus asa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sungai Pinang bermula dari Dobi Ghaut hingga muara Sungai Pinang. Manakala, Lembangan Sungai Pinang terdiri daripada enam anak Sungai dari Bukit Bendera dan Air Itam mengalir ke Sungai Pinang.

Enam anak sungai tersebut adalah Sungai Dondang, Sungai Kechil, Sungai Air Putih, Sungai Air Itam, Sungai Air Terjun dan Sungai Jelutong.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);