RM16,500 diluluskan kepada lima pertubuhan belia berdaftar – Exco

whatsapp image 2024 02 23 at 10.03.23 am

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Penilaian Dana Pembangunan Belia Pulau Pinang telah meluluskan sejumlah RM16,500 kepada lima pertubuhan belia di negeri ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Dana Pembangunan Belia pertama yang dipengerusikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen yang diadakan di Komtar pada 22 Februari 2024.

Turut hadir ialah panel Jawatankuasa Penilaian yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri, Tan Chor Lim; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Mozakir Buyong Mokhtar serta Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, Dr. Gwee Sai Ling.

whatsapp image 2024 02 23 at 10.03.08 am

Menurut Zi Sen, dana yang diluluskan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM100,000 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau untuk program-program pembangunan belia yang dijalankan di negeri ini pada tahun 2024.

“Dana Pembangunan Belia ini bertujuan memberi sokongan kewangan kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang berdaftar bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menganjurkan program atau aktiviti berkaitan belia.

“Objektif penganjuran aktiviti harus berkaitan dengan usaha memperkasakan golongan belia dari segi kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawan, berpersatuan, kepimpinan dan pengiktirafan atau penganugerahan dalam kalangan belia,” katanya dalam kenyataan.

Zi Sen berkata, permohonan bagi mendapatkan Dana Pembangunan Belia 2024 masih lagi dibuka kepada semua pertubuhan yang berkaitan sehingga 31 Mac ini.

“Kepada semua pertubuhan yang berkenaan, permohonan masih terbuka dan sertakan permohonan anda selewat-lewatnya pada 31 Mac 2024 kepada pihak Urus Setia, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang di www.pydc.com.my/dpb atau menghubungi Cik Samantha Tang, Pegawai Perhubungan Kanan PYDC di talian 014-9016 968 atau [email protected],” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : EXCO