Resipi turun temurun, ramuan istimewa keluarga pikat peminat kuih bakul

img 20240209 wa0075

KUIH bakul atau ‘Nian Gao’ merupakan antara menu wajib ketika perayaan kaum Cina terutama pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, malah tidak lengkap rasanya jika hidangan tradisi itu tidak disajikan.

Namun, kini kuih yang sinonim dengan pelbagai pantang larang itu boleh dinikmati pada bila-bila masa sahaja tanpa menunggu musim perayaan malah semakin ramai pembuat kuih in imerupakan dalam kalangan orang Melayu dan dijamin halal.

img 9695
NUR Farrah Diba semasa sesi wawancara khas baru-baru ini.

Pemilik Farrah Diba Bakeri (FDB), NUR FARRAH DIBA AZHAR, 34, tidak menyangka rasa istimewa yang terhasil daripada resepi turun temurun keluarganya itu menjadi kegemaran pelanggan bukan sahaja di sekitar Pulau Pinang, malahan serata negeri.

Kendatipun bidang yang diceburinya kini jauh berbeza dari sektor pelancongan sebelum ini, namun beliau tidak pernah berhenti untuk terus mengusahakan perniagaan kuih bakul halal ini.

“Saya bertuah kerana ibu dan datuk berketurunan Cina, setiap resepi kuih tradisional yang saya hasilkan sudah tentu menggunakan bahan yang asli dan halal dan boleh dinikmati oleh semua kaum berdasarkan bimbingan dan tunjuk ajar serta pantang larang.

“Di samping itu, saya menjual kuih bakul saban tahun sejak dari tahun 2016, namun ketika menjelangnya Tahun Baharu Cina permintaan meningkat sekitar 3,500 sehingga 4,500 biji.

“Untuk makluman, FDB bukan sahaja beroperasi di premis dekat Bandar Perda, malahan juga di platform media sosial seperti TikTok Shop, penghantaran melalui pos ke seluruh negara termasuk di Singapura turut disediakan.

“Sehingga kini, kuih yang dibungkus rapi sampai dalam keadaan baik menurut pelanggan-pelanggan FDB, dan mampu bertahan selama seminggu tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk,” kongsinya semasa dalam sesi wawancara bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL danjurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru-baruini.

4a2c69ea a363 4fc1 a403 0771011bff50
ANTARA salah satu proses pembuatan kuih bakul.

Sementara itu, berkongsi mengenai proses pembuatan kuih bakul, Farrah Diba turut menyatakan prosesnya agak rumit dan memerlukan daya fokus yang tinggi bagi memastikan hasilnya menjadi.

“Sudah tentu saya sangat menjaga kualiti produk makanan yang dihasilkan, saya turut menggunakan ramuan daripada bahan semula jadi terutamanya daun pisang yang digunakan sebagai pembalut kuih bakul bagi menaikkan aroma asli kuih bakul.

“Pada peringkat awal, proses dimulakan dengan mengisar beras untuk menghasilkan adunan, lalu dicampurkan dengan ramuan istimewa iaitu minyak kacang tanah yang dihasilkan oleh saya sendiri bagi menjadikan kuih bakul itu lebih berlemak dan wangi.

“Seterusnya, adunan kuih bakul dikukus selama tempoh 16 jam bermula 8 pagi sehingga 12 tengah malam menggunakan dapur gas, bancuhan dan adunan serta proses pembalutan kuih bakul dilakukan oleh saya sendiri bagi menjamin mutu, kualiti serta keterjaminan produk.

“Purata jumlah kuih bakul yang dapat FDB hasilkan setiap hari merupakan sebanyak 200 biji, manakala proses untuk menyiapkan sebiji kuih bakul memakan masa tujuh hari kerana perlu memastikan kuih tersebut betul-betul kering bagi mengelakkan terhasilnya kulat,” ujarnya yang berjaya memikat peminat kuih bakul dari pelbagai latar belakang.

0b121d62 5d46 48d6 bf3f 51866b8e8a8c
NUR Farrah Diba Azhar.

Bagi Farrah Diba, beliau percaya perjalanan perniagaannya penuh cabaran, namun dek semangat tekad yang kuat beliau hadapi dengan tenang.

“Siapa sangka seorang usahawan muda seperti saya berupaya berniaga sendiri dengan hanya menjual kuih tradisional, jika saya menetapkan pemikiran tidak boleh berjaya maka saya akan gagal.

“(Dan) dengan melalui pelbagai cabaran sejak sembilan tahun lalu, saya berupaya memperbaiki pelbagai sudut kekurangan dalam produk dan juga perniagaan, mana tahu saya akan terlibat dalam bidang pertanian pula, penting untuk kita cabar diri sendiri untuk melihat potensi sejauh mana.

“Niat utama saya belajar membuat dan menjual kuih bakul initidak lain tidak bukan untuk berkongsi kegembiraan dalam meraikan perayaan, dan kini kaum Melayu tidak ketinggalan untuk merasa sendiri keenakan kuih bakul ini tanpa berasa was-was.

“Justeru, peluang dalam perniagaan ini menjamin keberkatan sekali gus selari dengan usaha menyatukan semua kaum di Malaysia dan memupuk nilai perpaduan melalui makanan tradisional kaum lain,” jelasnya lanjut.

c831e275 766a 40c9 9fd5 a7ec7413c28c
SALAH satu proses pembuatan kuih bakul melibatkan Nur Farrah Diba (kanan) dan stafnya.

Menutup sesi wawancara khas ini, Farrah Diba turut menekankan beliau hanya akan meneruskan perniagaan di Pulau Pinang kerana keunikan setiap makanan hanya terdapat di negeri ini.

“Saya akan berterusan menaikkan jenama FDB kerana tahu kuasa membeli di sini (Pulau Pinang) sangat kuat sehingga pelanggan dari Negeri Sembilan dan Terengganu sanggup memandu berjam-jam untuk membeli kuih bakul FDB.

“Diharapkan juga selepas ini lebih ramai yang tahu mengenai FDB dan juga terus-terusan menyokong produk lokal,” katanya menutup bicara.