RM19,500 kos pemasangan paip air 13 rumah terpilih dibiayai Pejabat Ketua Menteri

Admin

SAAD Md. Isa, 66, dan isteri, Noridah Hashim, 57, antara 13 keluarga terpilih di Kampung 20 dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga yang menikmati kemudahan bekalan air rawat dan bersih yang lebih baik daripada insentif Kerajaan Negeri.

Saad dan Noridah, masing-masing menzahirkan rasa gembira apabila Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri bertandang ke rumah baharu mereka yang masih dalam proses membina.

“Sudah empat bulan rumah kami dapat bekalan air bersih, hari ini, sangat gembira apabila Ketua Menteri sendiri datang tengok rumah kami,” jelas Saad dalam nada gembira.

KETUA Menteri dalam sidang media di perkarangan rumah Saad Md. Isa di sini tadi.

Bercakap kepada pemberita sebelum itu, Kon Yeow memberitahu bahawa jelajah desa sejak awal pagi tadi adalah untuk mendapatkan maklum balas golongan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) berhubung tadbir urus Kerajaan Negeri hari ini.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa jelajah tersebut juga adalah untuk meninjau projek pemasangan meter paip air di bawah Skim Pinjaman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“PABPP akan memberi pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1,500 dan pemohon hanya perlu membayar balik kepada PBAPP sebanyak RM30 melalui setiap kitaran bil bulanan – dua bulan bulan sekali.

“Mengikut perkiraan, pemohon memerlukan tempoh maksimum selama lapan tahun untuk menyelesaikan pinjaman tersebut (kerana) skim ini dikhususkan kepada pemohon dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan.

“Saya dimaklumkan bahawa daripada 13 keluarga ini, tujuh buah rumah sudah pun mendapat bekalan air, manakala, enam rumah lagi masih dalam proses mendapatkan bekalan air bersih.

“Oleh itu, sukacita diumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menanggung kos perbelanjaan ini yang keseluruhannya bernilai RM19,500,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi kepada pemberita Buletin Mutiara di sini pada 9 Julai 2020.

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata bahawa secara perundangan, tanpa persetujuan tuan tanah, agensi perkhidmatan bekalan air negeri tidak boleh memasang paip air ke premis mana-mana pihak termasuk golongan terpilih, seperti keluarga Saad.

Justeru, menurut beliau, Kerajaan Negeri disyor meneliti halangan-halangan perundangan ini demi memastikan bekalan air bersih serta berkualiti dapat diakses oleh semua penduduk negeri termasuk di kawasan luar bandar.

“Paip air PBAPP yang ingin dipasang ini kadang-kadang kena melalui tanah pihak tertentu, jadi mesti kena dapat kebenaran terlebih dahulu.

“Kalau boleh, kita kena kenal pasti kaedah pelaksanaan macam mana nak tangani isu ini, kerana bekalan air adalah hak asasi manusia,” ulasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Khas bagi Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng memberitahu bahawa sejak tahun 2018, melalui tinjauan yang telah dibuat, mendapati seramai 51 keluarga dalam KADUN Bertam dan Penaga berjaya dibantu dengan skim bantuan sama, dengan peruntukan kira-kira RM76,500.

KETUA Menteri bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar dengan barisan anggota Persatuan Penganut Dewa Leong Hock Beoh SPU di tokong yang dikatakan tertua di KADUN Penaga di sini pada pagi tadi.

Sebelum itu, Kon Yeow mengadakan lawatan ke Tokong Leong Hock Beah yang berusia kira-kira 108 tahun serta dikatakan sebagai tokong tertua di KADUN berkenaan.

Pada lawatan berkaitan, beliau menyerahkan replika cek RM50,000 kepada Pengerusi Persatuan Penganut Dewa Leong Hock Beoh SPU, Ang Teow Chua untuk kerja-kerja pemuliharaan serta pemeliharaan pada struktur bangunan tersebut.

Turut menyaksikan acara ringkas tersebut, Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Seni, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Selepas itu, jelajah Kon Yeow turut melawat ladang Nira Asli milik “Pak Man Nira” atau nama sebenarnya Othman Md. Isa, 60, di Kampung Tepi Laut Pasir Gebu, Penaga.

Jelajah Kon Yeow kali ini berakhir di Restoran Top D’Gurun Kepala Batas, yang turut disertai oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING