RM40,000 lancar mymat demi cegah denggi dan zika – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

GEORGE TOWN – Perangkap nyamuk mymat yang dilancarkan Kerajaan Negeri baru-baru ini adalah demi mengurangkan lagi proses pembiakan serangga itu serta mencegah penularan wabak denggi dan virus zika.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, kira-kira RM40,000 dibelanjakan untuk pemulaan projek mymat itu.

“Kita (Kerajaan Negeri) memilih tiga lokaliti di Pulau Pinang untuk mengkaji keberkesanan mymat dalam mengawal penularan kes denggi dan virus zika yang dibimbangi akan menyerang ketika musim hujan sekarang.

“Tiga lokaliti yang dipilih setakat ini adalah Seberang Jaya, Bayan Baru dan Batu Lanchang yang mana kita akan agihkan sebanyak 4,000 unit mymat sebagai permulaan untuk dikaji keberkesanannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Perasmian Program Derma Darah Pra Ramadan di sini baru-baru ini.

Program tersebut adalah anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama-sama Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Dalam perkembangan lain, Afif turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyebut inisiatif Kerajaan Negeri memasang 10 unit Automated External Defibrilator atau AED (alat rawatan kecemasan serangan jantung) di kawasan umum sebelum ini hanya untuk kegunaan anggota paramedik semata-mata.

“Kita juga anjurkan kursus penggunaan AED untuk orang ramai, anggota polis dan bomba pada April lalu yang melibatkan hampir 3,000 peserta.

“Caranya amat mudah dan lebih senang berbanding memandu kereta, jadi ianya mampu dikendalikan oleh orang biasa dalam menangani serangan jantung mengejut,” jelasnya.

Lagipun, Afif memberitahu, ADUN Pembangkang dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang lalu turut menyokong pemasangan AED, bahkan meminta Kerajaan Negeri supaya memperluaskan penggunaan alat peranti itu sebagaimana di negara-negara maju.

Sementara itu, sempena bulan Ramadan, Rosli dalam kenyataannya memberitahu bahawa penganjur menyasarkan sebanyak 500 pint (paket darah) untuk dua program yang dilangsungkan di Komtar pada 25 hingga 25 Mei, serta di AEON Mall Bukit Mertajam pada 4 Jun lalu.

“Darah-darah ini akan disumbangkan kepada tabung-tabung darah hospital sekitar negeri ini,” ujar beliau.} else {