Sumbangan penghargaan pemandu teksi tetap diteruskan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri hari ini memperuntukkan RM4,662,900 sejak Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi diperkenalkan pada tahun 2013.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sumbangan kali kelapan ini sebanyak RM718,800 kepada 1,786 pemandu bahagian pulau dan Seberang Perai (610).

“Tiada negeri lain di Malaysia selain Pulau Pinang yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600 setahun yang dibayar dua kali dalam setahun kepada semua pemandu teksi dan kereta sewa yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri hari ini.

“Insentif ini kerana perkhidmatan terbaik anda kepada penumpang tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang politik.

“Selagi Kerajaan Pakatan Harapan memerintah (Pulau Pinang), kita akan meneruskan pemberian ini sebagai penghargaan kepada sumbangan ini,” katanya pada Majlis Pemberian Insentif Kepada Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Peringkat Seberang Perai di SP Arena di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya sebelum itu mengesyor Kerajaan Persekutuan supaya mengambil langkah sebagaimana Kerajaan Negeri dengan memberi insentif berkaitan.

“Insentif ini sangat wajar kerana para pemandu teksi bagaikan duta kecil kita (Kerajaan), kerana merekalah yang paling awal menyambut pelancong asing sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mahupun di terminal-terminal bas.

“Jangan memberi insentif berupa tayar umpama menjelang musim pilihan raya umum, tetapi beri insentif seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, tiaptiap tahun, sama ada ketika musim pilihan raya atau tidak,” ujar beliau.

Manakala, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi Pulau Pinang (Gabungan), Abd. Malik Darus ketika berucap menggesa Kerajaan Pusat melindungi kepentingan pemandu teksi yang terjejas pendapatan akibat pada kewujudan Uber, perkhidmatan kereta sewa tempahan atas talian.

“Begitu senang Uber ini beroperasi tanpa perlu bayar permit teksi dan lain-lain seperti kita, sedangkan kita ikut semua peraturan sebab nak cari makan dengan pandu teksi ini

. “Saya tahu isu Uber ini di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri jika nak bantu, sebab itu kami daripada Gabungan ini menggesa Kerajaan Pusat supaya segera tangani isu Uber, yang nyata menjejaskan pendapatan para pemandu teksi di negeri ini,” tegasnya disambut sorakan tanda sokongan daripada mereka yang hadir.

Pada sidang media selepas itu, Abd. Malik memberitahu bahawa pihaknya pada awal bulan April lalu telahpun menyatakan aduan bertulis mengenai operasi Uber kepada agensi persekutuan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam aduan itu, katanya, disebut kesan baik buruk pada operasi Uber ke atas para pemandu teksi, jika tiada tindakan lanjut daripada pihak berkuasa berwajib.

“Aplikasi atas talian MyTeksi sendirinya ada, tetapi masalah mereka tidak guna perkhidmatan teksi sedia ada di Pulau Pinang kerana adanya Uber ini,” jelas beliau kepada pemberita.

Sehari sebelum itu, Guan Eng turut menyampaikan pemberian insentif serupa pada majlis berasingan peringkat Bahagian Pulau di Dewan Sri Pinang dekat Padang Kota.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);