RM43.67 juta diluluskan Kerajaan Negeri dan Pusat bagi menyelenggara perumahan awam dan swasta negeri

GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan 48 Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) membabitkan peruntukan bernilai RM23.29 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang mengumumkan perkara berkenaan pada sidang media di sini hari ini menyifatkan ia sebagai ‘hadiah’ tahun baru kepada Pulau Pinang.

Jelas beliau, daripada dana RM100 juta yang diperuntukkan bagi PPP dan TPPM pada tahun 2020 oleh Kerajaan Pusat, kelulusan 48 projek berkenaan membabitkan sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan dana telah diluluskan buat Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri telah buat permohonan secara rasmi untuk 137 projek bernilai RM100 juta pada tahun lalu (2019) iaitu 123 projek di bawah TPPM berjumlah RM72 juta dan 14 projek PPP (RM28 juta).

“Daripada RM23.29 juta yang diluluskan, sebanyak RM14.51 juta melibatkan 15 jenis kerja penyelenggaraan di bawah PPP bagi projek perumahan awam Kerajaan Negeri.

“Manakala bakinya RM8.78 juta yang diluluskan di bawah TPPM akan digunakan bagi membiayai projek-projek penyelenggaraan perumahan swasta negeri yang layak di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Dato’ Ir Addnan Mohd. Rozali (Setiausaha Bandaraya MBPP); Fakhurrazi Ibnu Omar (Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Dasar dan Pembangunan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) dan wakil-wakil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Demi kelangsungan penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak di Pulau Pinang, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata bahawa bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga turut meluluskan tiga peruntukan besar sejumlah RM20.38 juta.

“Sebanyak RM8.58 juta diluluskan bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kesemua perumahan awam termasuk PPR dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri Pulau Pinang (RM5 juta).

“Di samping itu, sebanyak RM6.8 juta diperuntukkan bagi menyelenggara projek-projek di bawah perumahan swasta yang layak.

“Justeru, sehingga 14 Januari lalu, satu peruntukan besar sejumlah RM43.67 juta telah diluluskan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk manfaat warga Pulau Pinang setakat ini,” ujarnya sambil menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak KPKT terutama Menterinya, Zuraida Kamaruddin.

Dalam pada itu, difahamkan bahawa pihak MBPP dan MBSP akan membuka tender dokumen dan tender sebut harga dalam tempoh terdekat bagi melaksanakan projek-projek penyelenggaraan berkaitan tahun ini.

Rozali berkata, pihaknya dan MBPP menjemput mereka yang berminat untuk menyertai tender ini.

“Kesemua projek penyelenggaraan ini akan dilaksanakan tahun 2020, justeru kita menjemput mereka yang berminat dan layak untuk menyertainya,” ringkas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG