Slot kayuhan City2City Ride 2020 dibuka 20 Januari ini

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mempelawa peminat-peminat sukan berbasikal untuk merebut slot menyertai acara Kayuhan Berbasikal Paramount Property City2City Ride 2020 yang dijangka diadakan pada 5 Julai 2020.

Menurut Lip Chee, pendaftaran akan dibuka pada 20 Januari ini dan penyertaan akan dihadkan kepada 2,700 orang sahaja.

“Acara sejauh 77 kilometer dijangkan akan bermula di Design Village, Batu Kawan ke terminal feri di Butterworth sebelum menaiki feri ke Padang Kota untuk berkumpul semula.

“Selepas itu para peserta akan berkayuh semula ke Design Village melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, oleh itu jambatan tersebut akan ditutup bermula jam 7 pagi hingga 1 petang,” ujar beliau dalam satu sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama, wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam; Pengerusi Penganjur Datuk Dr. Lim Seh Guan serta wakil-wakil penaja.

Seh Guan ketika berucap mengajak peminat sukan berbasikal untuk merebut peluang ini kerana peluang untuk berkayuh di atas jambatan amatlah terhad.

Justeru, bagi yang berminat boleh layari https://howei.com/event_details/paramountpropertycity2cityride atau hubungi Seh Guan di talian 012-4254111.