RM4,373,800 untuk insentif Pelajar Emas

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai memberitahu, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM4,373,800 juta untuk membiayai bantuan insentif Pelajar Emas bagi tahun 2017.

“Jumlah ini adalah bersamaan dengan 43,738 orang murid Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dari seluruh negeri yang layak di seluruh negeri ini.

“Pembayaran adalah berlangsung dari 7 Ogos sehingga 18 Ogos 2017.

“Di kawasan saya, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, kita punyai 1,959 pelajar yang menikmati insentif ini, dan jumlah itu adalah tertinggi bagi kawasan pulau,” katanya ketika memantau proses pembayaran insentif berkenaan di sebuah bank dekat Air Itam baru-baru ini.

Program Pelajar Emas dimulakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2010 bertujuan membantu golongan ibu bapa meringankan beban tanggungan kos pelajar seperti kelengkapan dan lain-lain keperluan.

Justeru, Hon Wai menyeru individu yang layak menerima insentif-insentif Kerajaan Negeri melalui program i-Sejahtera supaya segera mendaftarkan diri.

“Jika inginkan kepastian, bolehlah kunjungi pusat-pusat khidmat ADUN dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) setiap kawasan masing-masing,” serunya.

Ibu tunggal, NORLI YACOB, 46, yang hadir menerima insentif berkenaan bagi pihak anak beliau melahirkan rasa syukur dengan sumbangan diterima.

“Saya mulanya dapat tahu program ini pun dari kawan-kawan, jadi saya daftar bagi anak yang bersekolah dekat Kampung Melayu dan gembira hari ini dapat RM100 untuk kegunaan anak saya nanti,” ujarnya yang merupakan seorang peniaga nasi lemak.

Seorang lagi penerima, ABDUL KARIM ANSUDU, 46, menyifatkan proses mendapatkan insentif berkaitan adalah agak mudah dan senang.

“Sistem dia mudah, jadi senang dan tidak menyusahkan dengan pelbagai dokumen dan sebagainya,” jelas beliau yang bertugas sebagai pembantu di sebuah restoran.