SEBERANG JAYA – Bukan sekadar padang dan kawasan lapang, lokasi rekreasi di Lorong Pauh 2, Taman Pauh di sini bakal berubah wajah menjadi Taman Madani yang lebih selesa, selamat dan inklusif untuk dinikmati seisi komuniti.
Projek naik taraf bernilai RM498,290 itu dilaksanakan bagi memperkasa fungsi kawasan lapang berkeluasan kira-kira 6,900 meter persegi, sekali gus menyediakan ruang riadah yang lebih berkualiti kepada penduduk Taman Pauh dan kawasan sekitarnya.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kedudukan kawasan berkenaan yang strategik dalam kawasan penempatan berkepadatan tinggi serta berhampiran sekolah dan kawasan perumahan menjadikannya lokasi ideal untuk dibangunkan sebagai ruang rekreasi komuniti.
Menurutnya, kawasan tersebut juga mempunyai tahap kebolehsampaian yang baik dengan jarak sekitar 400 hingga 500 meter atau lima hingga 10 minit berjalan kaki dari kawasan perumahan berhampiran.
“Potensi kawasan ini amat besar untuk dibangunkan sebagai ruang rekreasi yang lebih aktif, selesa dan kondusif, sekali gus menyokong amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Pembangunan kawasan lapang bukan hanya mengenai infrastruktur fizikal, tetapi turut menekankan aspek inklusiviti, keselesaan, keselamatan dan kebolehcapaian,” katanya pada sidang media mengenai perkara berkaitan dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah; Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry Jaafar Sidek; Ahli Majlis bagi MBSP, Ooi Yong Wooi dan Ngoh Cheng Hai; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Shaqhrony Md. Yusoff@Jamaludin serta Penolong Pengarah Kanan Jabatan Landskap MBSP, Siti Fatimah Ismail.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata bahawa sebelum ini kawasan berkenaan telah mempunyai kemudahan asas seperti laluan pejalan kaki, padang bola dan alat permainan bersepadu.
Namun, sebahagian kemudahan memerlukan penambahbaikan supaya kawasan itu dapat dimanfaatkan secara lebih optimum oleh komuniti.
Menerusi projek berkenaan, pelbagai kemudahan baharu akan disediakan termasuk laluan pejalan kaki, alat permainan kanak-kanak, alat senaman, dataran terbuka, pagar penghadang bola serta sistem saliran bawah tanah.
Turut termasuk dalam skop projek ialah pembinaan entrance statement, bangku cast in situ, laluan penyelenggaraan, swing gate, pemasangan papan tanda serta penghadang motosikal yang mematuhi prinsip Universal Design.
“Alat permainan akan memberi ruang kepada kanak-kanak, manakala alat senaman boleh dimanfaatkan golongan dewasa dan warga emas.
“Laluan pejalan kaki serta dataran terbuka pula boleh menjadi ruang riadah dan interaksi sosial yang lebih selesa untuk komuniti,” katanya.




Beliau berkata, penerapan prinsip Universal Design penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat diakses dengan lebih mudah, selamat dan sesuai untuk pelbagai lapisan pengguna.
Mooi Lye berkata, nilai kontrak projek tersebut adalah sebanyak RM498,290, dengan tarikh milik tapak pada 8 Julai 2026 dan dijadualkan siap pada 21 Disember 2026, membabitkan tempoh pelaksanaan 24 minggu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MBSP, khususnya Jabatan Landskap, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual, selain menyeru penduduk agar memainkan peranan bersama dalam menjaga kemudahan yang disediakan.
“Penduduk dan komuniti setempat perlu bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan serta kemudahan yang disediakan agar Taman Madani ini terus berfungsi sebagai ruang rekreasi yang aktif, selamat, inklusif dan mesra kepada semua,” katanya.
Sementara itu, merakamkan penghargaan kepada Exco Kerajaan Tempatan serta Jabatan Landskap MBSP atas tanggungjawab dan komitmen dalam melaksanakan projek tersebut.
Beliau pada masa sama berharap lebih banyak taman dan kawasan rekreasi dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya turut diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan awam yang dinikmati rakyat sentiasa berada dalam keadaan baik dan relevan.
Dalam perkembangan sama, Fayyadh Afiq Albakqry memberi jaminan bahawa MPKK akan memainkan peranan sebagai ‘barisan hadapan’ dalam memastikan persekitaran Taman Madani terus terpelihara selepas projek berkenaan siap.
“Kita akan menjadi first line of defence untuk menjaga persekitaran Taman Madani dan menangani sebarang kerosakan yang berlaku.
“Peruntukan untuk MPKK dalam membantu menjaga kawasan taman ini akan diteliti kemudian,” katanya.
Setelah siap kelak, Taman Madani bukan sahaja dijangka memberi manfaat kepada penduduk Taman Pauh, malah komuniti berhampiran termasuk Taman Pauh Indah dan Taman Pauh Jaya.
Projek itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan MBSP dalam memperkukuh penyediaan ruang hijau serta kemudahan rekreasi berkualiti sebagai sebahagian daripada usaha membina persekitaran bandar yang lebih selesa, sihat dan mesra komuniti.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS