RM5.6 juta peruntukan Pakej Bantuan Khas ‘Penang Lawan Covid-19’ kepada peniaga kecil Seberang Perai – Rozali

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengagihkan RM5,578,000 melalui Pakej Bantuan Khas ‘Penang Lawan Covid-19 bagi fasa 1 dan fasa 2 kepada peniaga-peniaga kecil Seberang Perai.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-553 Bil. 7 Tahun 2020 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2020.

SUASANA Mesyuarat Majlis Penuh di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP di sini pada petang tadi.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Selain itu, Rozali turut merakamkan ucapan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63, dengan tema ‘Malaysia Prihatin’.

“…’Malaysia’ membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik COVID-19, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan, mahu pun orang perseorangan.

“Sementara itu, ‘Prihatin’ pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui insentif (bantuan kewangan iaitu) Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut berharap seluruh penduduk Pulau Pinang mengambil kesempatan memanfaatkan hari pelepasan am sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2020 nanti untuk bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD