Segera ubah kepada Sistem Penternakan Babi Moden – gesa Datuk Bandar MBSP

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa dua tahun diberikan kepada semua peladang yang terlibat untuk mengubah corak peladangan secara tradisonal kepada Sistem Penternakan Babi Moden.

Bermula 1 Januari 2022, beliau berkata bahawa MBSP akan memulakan langkah penguatkuasaan secara fizikal termasuk merobohkan ladang babi tidak berlesen.

“Walaupun moratorium (langkah penangguhan penguatkuasaan undang-undang) diberikan selama dua tahun, ladang penternakan sedia ada tidak boleh melanggar syarat-syarat perlesenan berwajib.

“Sekiranya mereka (penternak ladang secara tradisional) melanggar syarat-syarat perlesenan sedia ada, seperti menyebabkan pembiakan lalat dan wabak ataupun melepaskan air kumbahan ke dalam sungai dan parit, MBPP dan DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar) masih boleh mengambil tindakan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada yang lain.

“Perlu diingatkan bahawa lesen premis MBSP bagi ternakan babi hanya dikeluarkan kepada ladang babi tertutup sahaja mulai 1 Januari 2022, manakala, ladang babi konvensional (yang mengamalkan penternakan babi secara tradisonal) sedia ada yang berlesen tidak akan diperbaharui mulai 1 Januari 2022.

“Keputusan terkini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2020 telah memutuskan untuk merobohkan ladang babi tanpa lesen, boleh dilaksanakan mulai 1 Januari 2022,” jelasnya dalam sesi telesidang dan live Facebook di lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Julai 2020.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti turut berucap pada acara ringkas tersebut.

Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Dr. Anun Man; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; serta barisan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Berdasarkan Enakmen Penternakan Babi 2016, difahamkan, terdapat empat perkara penting ditekankan dalam pengamalan Sistem Penternakan Babi Moden iaitu kadang tertutup; mesti ada zon penampan antara ladang ternakan dengan kawasan kediaman, kumbahan sifar dan melaksanakan Amalan Penternakan Baik (GAHP).

Menurut Rozali, sehingga 31 Disember ini pentadbirannya akan memberi lima insentif untuk mempercepatkan peladang melaksanakan Sistem Penternakan Babi Moden.

“Insentif pertama adalah mengecualikan Pelan Kebenaran Merancang, tetapi para penternak babi secara tradisional yang mahu mengubah kepada Sistem Penternakan Babi Moden masih perlu mengemukakan Pelan Bangunan untuk kelulusan MBSP.

“(Insentif kedua,) pengecualian daripada syarat tukar guna tanah daripada pertanian kepada industri.

“(Insentif ketiga,) pengecualian daripda dikenakan ‘universal design’ (reka bentuk sejagat) seperti kemudahan untuk OKU (orang kurang upaya), parkir dan lanskap.

“(Insentif keempat,) pengecualian ‘bayaran dinaikkan’ iaitu kira-kira 10 kali ganda dalam bentuk penalti terhadap pengusaha yang menaiktaraf (struktur bangunan) tanpa kebenaran.

“(Insentif kelima dan terakhir,) pengecualian bayaran Caruman Perparitan,” jelasnya lagi.

“Semua insentif ini diberikan sehingga 31 Disember ini sahaja, selepas tarikh itu tiada lagi insentif yang begitu istimewa ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Norlela memberitahu bahawa penternak-penternak berkenaan sebenarnya telah diberikan masa yang begitu cukup untuk melaksanakan Sistem Penternakan Babi Moden, memandangkan Enakmen Penternakan Babi 2016 telahpun diluluskan sejak empat tahun lepas lagi.

“Saya nak merayu kepada semua anggota persatuan penternak babi dan juga semua penternak, tahun ini menyaksikan tidak ada hasil di sungai terbabit.

“Ramai nelayan menyuarakan masalah (hasil tangkapan sungai mereka terjejas teruk) kepada saya, dan ketika COVID-19 sekarang ramai nelayan sungai mengadu pendapatan mereka terjejas apabila pencemaran sungai berlaku.

“Salah satu faktor pencemaran sungai berlaku adalah disebabkan daripada air kumbahan dari ladang-ladang babi.

“Perkara ini dah banyak kali disuarakan sejak bertahun-tahun lalu, maka, sebab itu Kerajaan Negeri dan (majoriti) ADUN telah meluluskan Rang Undang-Undang Penternakan Babi pada tahun 2016 lagi.

“Sekarang ini, kita dah berada dalam tahun 2020, maknanya kita (Pihak Berkuasa Negeri dan PBT) telah memberikan tempoh masa yang mencukupi untuk semua penternak mengikut syarat-syarat (Enakmen Penternakan Babi 2016),” jelasnya sambil menyokong komitmen pentadbiran Rozali untuk mempercepat pelaksanaan Sistem Penternakan Babi Moden secara menyeluruh sebelum tahun 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD