GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM52 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan Dewan Sri Pinang (DSP) yang bakal memberi fokus kepada pengukuhan fasiliti auditorium untuk kegunaan seni budaya dan majlis rasmi.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, projek penaiktarafan tersebut akan dipelopori oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pelantikan perunding telah dilaksanakan.
Menurut beliau, kerja-kerja penaiktarafan dijangka bermula pada penghujung tahun ini dengan tumpuan utama diberikan kepada auditorium utama DSP.
“DSP telah berusia lebih lima dekad, dan banyak peralatan sedia ada tidak lagi memenuhi keperluan semasa bagi penganjuran persembahan seni dan acara rasmi.
“Justeru, penaiktarafan ini bertujuan menjadikan auditorium DSP lebih moden serta dilengkapi fasiliti yang memenuhi standard persembahan seni dan kebudayaan semasa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng pada Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Hon Wai turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut memperkukuh pembangunan seni dan budaya menerusi pelbagai penganjuran festival melibatkan penggiat seni tempatan serta antarabangsa.
“Kita telah mengeluarkan Request for Proposal (RFP) kepada kumpulan seni dan muzik dari Malaysia serta luar negara bagi mengemukakan cadangan penglibatan sebelum proses pemilihan dilaksanakan.
“Malah, George Town Festival juga menerima lebih 200 permohonan dari seluruh dunia setiap tahun melibatkan pelbagai bentuk persembahan termasuk muzik dan seni kreatif.
“Sehubungan itu, penganjuran festival turut menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat belia serta menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang seni dan budaya,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Paya Terubong.
Secara keseluruhannya, Hon Wai yakin bahawa usaha bersepadu ini mampu memperkukuh ekosistem seni muzik di Pulau Pinang, menarik lebih ramai pengunjung serta meletakkan negeri ini sebagai hab seni dan budaya yang dinamik dan berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING & DARWINA MOHD. DAUD