RM60 juta biaya empat program sokongan NCER demi tingkat pendapatan B40 Pulau Pinang

Admin

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini melancarkan empat program Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dengan anggaran pembiayaan tahunan 2020 untuk pembangunan modal insan di Pulau Pinang adalah kira-kira RM60 juta.

Ketika berucap, beliau berharap program-program sokongan daripada Persekutuan tersebut mampu memperkasa golongan belia, wanita, ibu tunggal, penganggur dan usahawan mikro yang berada dalam kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) negeri.

“Di bawah pentadbiran Kerajaan yang sama (iaitu Pakatan Harapan), dasar, program dan pelaksanaannya mungkin sedikit mudah berbanding karenah-karenah yang perlu dihadapi sebelum ini.

“Menyedari akan segala permasalahan dan isu-isu berbangkit yang membelenggu rakyat masa kini, terutama melibatkan peningkatan kos sara hidup, kepimpinan Kerajaan baik di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan peka dan senantiasa mencari jalan keluar serta penyelesaian untuk memastikan pembangunan negeri dan negara secara keseluruhannya dapat dinikmati oleh setiap rakyat,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program-Program Modal Insan: Menyemarak Kemakmuran, Memperkasa Rakyat di Dewan Sri Mutiara, Politeknik Seberang Perai (PSP) dekat sini pada 14 November 2019.

Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor; beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John turut sertai majlis perasmian tersebut.

Difahamkan, empowerNCER, entrepreneurNCER, NCER Talent Enchancement Programme (NTEP) dan Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) merupakan empat program sokongan ke arah meningkatkan pembangunan modal insan daripada kalangan B40.

“(Di bawah EmpowerNCER,) kelas bimbingan ditawarkan kepada anak-anak kelompok B40 yang lemah dalam pendidikan terutama kepada mereka yang menduduki peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM.

“Program (EmpowerNCER) ini akan bermula pada Januari 2020 dan sasarannya adalah seramai 400 pelajar. 

“Program entrepreneurNCER yang memberi latihan keusahawanan dan kemahiran pula akan memberi fokus kepada kelompok usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (IKS)…(melalui) kerjasama strategik dengan Agrobank serta Maybank.

“Sehingga kini, 28 permohonan (di bawah program) entrepreneurNCER telah diterima dan sedang diproses.

“NTEP pula adalah untuk memastikan tenaga kerja mahir cukup bagi memenuhi keperluan industri serta meningkatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan tempatan.

“Sehingga akhir bulan lalu (Oktober 2019), jalinan kerjasama dengan 18 syarikat di Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan pelaburan sebanyak RM6.1 bilion, sekaligus mewujudkan 6,325 peluang pekerjaan.

“DMP diperkenalkan sebagai sokongan berbentuk kewangan kepada usahawan-usahawan Bumiputera,” ujar Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Di bawah program sokongan SMP berkaitan, tambah beliau, sebuah syarikat dalam bidang pembuatan dan sebuah lagi syarikat dalam sektor pertanian serta bio-industri di Seberang Perai telah diluluskan.

“Susulan itu, RM36.97 juta pelaburan akan dijana, dengan 117 peluang pekerjaan diwujudkan serta mencipta 60 peluang keusahawanan dan pekerjaan sebagai limpahan di negeri kita,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa pembiayaan Persekutuan untuk kesemua empat program sokongan bagi tujuan pembangunan modal insan peringkat negeri, mulai Januari tahun hadapan adalah dianggarkan kira-kira RM60 juta. 

“Bagi pihak NCIA, kita harap boleh saling bekerja secara bersama-sama (dengan pihak Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya, tiap-tiap program ini melibatkan pembiayaan kira-kira RM15 juta dalam setahun,” jelasnya kepada pemberita. 

Dalam perkembagan lain, penganjur program turut mengadakan gimik sambutan Hari Ulang Tahun Ke-61 Kon Yeow di sini. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB 

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD 

Video : DARWINA MOHD. DAUD