RM8.9 juta realisasi laluan lingkaran basikal pertama Malaysia, jangka siap 2020

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PANTAI JEREJAK – Dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini giat membina Lingkaran Laluan Basikal (Spiral Bicycle) dan Laluan Pejalan Kaki pertama dalam negara bernilai RM8.9 juta.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, projek tersebut merupakan sebahagian daripada ‘coastal cycling route’ di persisiran pantai timur kawasan pulau merangkumi laluan dari Tanjung Tokong, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Apabila MBPP dinaik taraf sebagai bandar raya, kita perlu ikut jejak langkah bandar raya antarabangsa lain, antaranya laluan basikal yang efisien. Ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menyediakan persekitaran yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

“Kerajaan Negeri dalam pada itu turut menetapkan sasaran bahawa laluan basikal sepanjang 39.3 kilometer (km) tersebut akan siap menjelang tahun 2020,” katanya pada Sesi Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Spiral Bicycle and Pedestrian Bridge dekat Persiaran Queensbay di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

Tung Seang ketika berucap menyatakan bahawa spiral bridge berkaitan akan merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di hadapan kilang Intel, serta dua jambatan dibina merentangi Sungai Ara dan Sungai Nibong Kecil.

“Kerja-kerja pembinaan yang dimulakan pada Julai 2016, dijangka siap pada Januari 2018… sebahagian besar daripada laluan ‘coastal cycling route’ ini adalah dalam Kategori 1, iaitu laluan yang tidak berkongsi jalan dengan kenderaan bermotor,” jelas beliau.

Difahamkan Kerajaan Negeri melalui MBPP dan pihak swasta secara keseluruhan kini membelanjakan kira-kira RM34.9 juta untuk merealisasikan matlamat Pulau Pinang sebagai negeri basikal pertama di Malaysia.