RM80.6 juta zakat fisabilillah disalur, kebajikan umat Islam jadi keutamaan

Admin
bf78ade5 166e 445d 9cab d268c24bf90d

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda kebajikan umat Islam menerusi penyaluran bantuan zakat, peningkatan sokongan pendidikan serta penambahbaikan kebajikan petugas institusi agama di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sebanyak RM80.63 juta telah disalurkan kepada golongan asnaf di bawah kategori fisabilillah bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Menurutnya, aspek pendidikan turut diberikan perhatian apabila bantuan pendidikan berjumlah RM27.16 juta disalurkan kepada 10,725 penerima bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.

“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan bantuan dan sokongan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan, khususnya dalam meningkatkan akses pendidikan serta kesejahteraan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 5 November 2026.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan bahawa elaun bulanan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) telah dinaikkan kepada RM1,700 berkuat kuasa Oktober 2026, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 1,650 orang guru.

“Selain itu, kebajikan 1,364 petugas masjid termasuk imam, bilal dan siak turut dipertingkat menerusi kenaikan elaun dengan peruntukan tambahan tahunan sebanyak RM1.76 juta.

“Dari aspek pembangunan institusi agama pula, sebanyak tiga masjid sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM14 juta, manakala tiga projek pembangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) melibatkan kos RM15.07 juta turut dilaksanakan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga terus memperkukuh kemudahan pendidikan menerusi penyediaan fasiliti Maker Lab di sekolah, dengan sebanyak 144 daripada 399 sekolah telah dilengkapi kemudahan berkenaan.

“Bukan itu sahaja, usaha menyediakan kemudahan perkuburan Islam turut diberi perhatian menerusi perancangan pembinaan Tanah Perkuburan Islam Berpusat di Sungai Dua seluas 2.5 ekar yang mampu menyediakan sebanyak 1,466 petak kubur,” jelasnya.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan umat Islam terus terbela, merangkumi aspek bantuan kewangan, pendidikan, pembangunan institusi agama dan penyediaan kemudahan masyarakat.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS