RM86,000 kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM – Sejumlah RM86,000 telah disalurkan melalui pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam kepada balai bomba dan penyelamat serta persatuan bomba sukarela di kawasan Bukit Mertajam tahun ini.

STEVEN Sim Chee Keong (tujuh dari kiri) bersama-sama rakan-rakan penganjur Kempen Keselamatan Kebakaran 2019 merakam kenangan sejurus perasmian di sini baru-baru ini.

 

Ahli Parlimennya, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan tersebut merupakan komitmennya sebagai wakil rakyat dalam usaha menjadikan kawasan di Parlimen Bukit Mertajam sebagai kawasan selamat.

 

“Dana yang disalurkan itu termasuklah RM20,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki pili bomba yang rosak; RM8,000 masing-masing kepada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda dan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam serta RM50,000 kepada Persatuan Bomba Sukarela Berapit yang mahu memberi sebuah trak bomba,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus menghadiri Kempen Keselamatan Kebakaran 2019 yang dianjurkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam bertempat di Tesco Alma, 17 November lalu.

 

Program yang bertujuan menyebarkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran itu juga membuka peluang kepada orang awam untuk berinteraksi dengan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan yang mengambil bahagian.

STEVEN Sim Chee Keong (dua dari kiri) sempat melawat ke reruai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang mengambil bahagian.

 

Dalam pada itu, Chee Keong yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menyatakan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap kebajikan 14,000 anggota bomba di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 

Melalui Belanjawan 2020 yang diumumkan pada Oktober lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pemberian elaun khas RM200 kepada semua anggota bomba dan penyelamat seluruh negara.

 

“(Dan) kerajaan (Persekutuan) sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota bomba di negara ini,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar :PEJABAT AHLI PARLIMEN BUKIT MERTAJAM