Rock To Run sasar RM30,000 untuk badan amal

BATU FERINGGHI – Bagi tiga tahun berturut-turut, acara larian amal, Rock to Run yang bertujuan mengumpul dana untuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berfungsi mencari peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), Asia Community Service’s Stepping Stone Support Centre kini kembali.

LYDIA Ong Kok Fooi (tujuh dari kiri) bergambar bersama-sama pihak penaja program
LYDIA Ong Kok Fooi (tujuh dari kiri) bergambar bersama-sama pihak penaja program Rock To Run sejurus selepas majlis siding media di sini baru-baru ini.

Serentak itu, ia juga bertujuan menyokong program makanan dunia iaitu dengan pemberian bantuan makanan kepada golongan kanak-kanak sedunia.

Bersempena penganjuran tahun ini, pihak penganjur seperti Hard Rock Hotel Penang dan Penang Amateur Athletic Association (PAAA) sambil disokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan jenama pakaian sukan, Brooks mensasarkan kutipan berjumlah RM30,000.

Acara tersebut bakal berlangsung pada 28 Oktober ini dari jam 6.30 pagi hingga 11 pagi. Ia dibahagikan kepada dua katogeri iaitu Fun Run yang memperuntukkan larian sejauh 3.8 kilometer (km) dan Competitive Run, 10.2km.

Selain hadiah bagi kategori-kategori berkenaan, peserta yang mengenakan kostum rock terbaik juga akan diberikan hadiah oleh pihak penganjur sekiranya berjaya menamatkan larian.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, hasil komitmen pihak penganjur, program amal tersebut kian mendapat perhatian masyarakat umum.

“Ini menunjukkan kesedaran rakyat bukan sahaja tentang kesihatan, tetapi juga niat untuk beramal,” ujarnya pada siding media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Hard Rock Hotel Penang, John Primmer dan Pengarah Perhubungan Antarabangsa Pelancongan Rekreasi MPPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Maklumat lanjut sila hubungi Cik Grace Chiam di talian 04 – 886 8010 atau faks, 04 – 881 2155 atau layari, http://bit.ly/rockrun.