RSN2040 perlu seimbang, inklusif dan mampan – Ketua Menteri

Admin
img 20251220 wa0065

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pandangan dan maklum balas penduduk setempat bagi memastikan Kajian Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSN2040) dirangka secara menyeluruh, seimbang dan berpaksikan keperluan rakyat.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penglibatan aktif komuniti setempat amat penting kerana RSN2040 bukan sekadar dokumen perancangan teknikal, sebaliknya pelan hala tuju bersama yang akan membentuk cara hidup, pekerjaan, pergerakan dan pembangunan Pulau Pinang dalam tempoh 15 tahun akan datang.

 

Menurut beliau, Bukit Tambun dikenal pasti sebagai salah satu Pusat Pertumbuhan di bawah Tier 3 (Bandar) dalam Cadangan Hierarki Perbandaran Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2040, selain berada dalam koridor pertumbuhan industri Batu Kawan yang berkembang pesat.

 

“Di bawah Tumpuan Perancangan 3: Infrastruktur Dinamik dan Perkhidmatan Utiliti Terangkum, jalan raya Bukit Tambun – Batu Kawan turut dikenal pasti sebagai antara lokasi kesesakan utama di negeri ini.

 

“Oleh itu, kepesatan pembangunan perlu disokong oleh sistem pengangkutan awam yang cekap, bersepadu dan mesra pekerja industri,” ujarnya.

 

img 20251220 wa0128
KETUA Menteri ketika ditemui pemberita sejurus sesi taklimat berkaitan di sini, pagi ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat berhubung Kajian RSN2040 (Peringkat Tinjauan Semula) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun di sini pada 20 Disember 2025.

 

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, TPr. Goh Choon Aik dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pulau Pinang, Dato’ TPr. Gs. Rozita Hamit.

 

Turut hadir, Pengarah Pejabat Projek Zon Utara PLANMalaysia, Haslina Chan @ Hassan; Pengurus Projek Kajian RSNPP2040 (Kajian Semula) Pejabat Projek Zon Utara PLANMalaysia, Mustafa Bakri Alias Sani; Ketua Perunding ANZ Planners Sdn. Bhd., TPr. Mohamad Nazri Jaafar serta wakil perunding, barisan Exco dan ADUN.

 

img 20251220 wa0081

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menekankan keperluan pelaksanaan beberapa pendekatan termasuk pengurusan sistem lalu lintas, pengurusan permintaan trafik, penggunaan sistem trafik pintar serta pengangkutan awam yang lebih efisien bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

 

Malah, tambah beliau, kawasan ternakan termasuk ternakan akuakultur seperti ikan dan udang juga perlu dilindungi kerana ia menyumbang kepada ekonomi tempatan serta rantaian jaminan makanan di negeri ini.

 

“Pembangunan perumahan yang semakin menghampiri kawasan ternakan menuntut perancangan guna tanah yang lebih seimbang, termasuk penyediaan zon penampan agar sumber rezeki komuniti setempat tidak terjejas,” tegasnya.

 

Beliau menyatakan bahawa kejayaan RSN2040 adalah bergantung kepada penglibatan aktif rakyat, justeru Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan penduduk setempat, pekerja industri, pengusaha, masyarakat sivil serta golongan belia.

 

“Perancangan masa depan Pulau Pinang tidak boleh dilaksanakan secara sehala, sebaliknya perlu digerakkan bersama rakyat demi memastikan pembangunan negeri yang berkualiti tinggi, mampan dan inklusif,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar & Video : SIEW CHIA EN