RTB Jalan Van Praagh dan Kampung Pokok Asam dijangka mula akhir tahun ini

GEORGE TOWN – Rancangan tebatan banjir (RTB) berskala kecil di Jalan Van Praagh dan Kampung Asam di sini dijangka akan memulakan pembinaan pada penghujung tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata bahawa projek berkenaan kini dalam proses penyediaan reka bentuk peringkat akhir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang.

“Kedua-dua projek tebatan banjir ini adalah penyelesaian jangka masa sederhana sementara menunggu RTB Sungai Pinang yang bermula dari Jambatan Jalan Patani hingga ke Jambatan Jalan Datuk Keramat/Air Itam disiapkan,” katanya semasa sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini pagi tadi.

Walau bagaimanapun katanya, projek tebatan Jelutong Diversion baharu pula masih dalam pertimbangan akhir Jawatankuasa Teknikal berdasarkan faktor-faktor seperti kesesuaian di kawasan setempat serta pembangunan pembangunan masa hadapan di jajaran tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil memaklumkan bahawa RTB Sungai Pinang akan memberikan keutamaan di lokasi-lokasi tumpuan banjir iaitu dari Jambatan Jalan Patani ke Jambatan Jalan Datuk Keramat/Air Itam.

“Projek ini bakal mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan dan dijangka bermula pada tahun 2022,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa JPS Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan perolehan bagi pembelian tig pam bergerak melalui peruntukan Caruman Pemaritan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2020.

“Tambahan sebanyak dua buah pam bergerak jenis yang sama akan diperoleh pada tahun ini bagi melengkapkan setiap daerah dengan satu pam bergerak mudah alih bagi operasi tersebut.

“Di samping itu, JPS juga memiliki 12 buah pam bergerak sedia ada sebagai langkah siap siaga bagi kegunaan serentak sekiranya terdapat keperluan,” ujarnya lagi.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD