GEORGE TOWN – Peruntukan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Perai Fasa 2 merangkumi kawasan Kampung Pertama, Seberang Jaya telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat pra-pelaksanaan, namun jadual pelaksanaan fizikal masih belum dimuktamadkan.
“Ini adalah ekoran proses pra-pelaksanaan termasuk penyediaan reka bentuk terperinci masih belum dilaksanakan.
“Kerja-kerja tebatan banjir melibatkan Sungai Pertama atau Sungai Derhaka di Kampung Pertama merupakan sebahagian daripada RTB Sungai Perai Pakej 1 yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Zairil berkata demikian ketika menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas dekat sini pada 4 November 2026.
Sementara itu, Zairil turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang bayaran pampasan pengambilan tanah dibuat bagi pelaksanaan RTB Sungai Perai Fasa 2.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia akan melantik perunding bagi melaksanakan kerja-kerja pra-pelaksanaan projek termasuk penyediaan reka bentuk terperinci.
“Kajian teknikal berkaitan juga akan menjadi asas bagi menentukan skop dan kaedah pelaksanaan projek yang bersesuaian,” jelasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT