GEORGE TOWN – Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang (JKRPP) telah melaksanakan kajian lalu lintas bagi cadangan pembinaan laluan baharu menghubungkan Jalan Perda Utama ke Jalan Permatang Nibong sebagai usaha menangani kesesakan di kawasan Kubang Semang dan sekitarnya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kajian berkenaan bertujuan menilai kesesakan semasa serta keperluan laluan alternatif menerusi cadangan Jalan Lingkaran Luar Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah (SPT).
“Kajian itu turut mengambil kira unjuran pertumbuhan trafik bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang sejajar dengan pembangunan kawasan perumahan dan komersial di Seberang Perai Tengah,” ujarnya.
Demikian respons Zairil ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim, mengenai perkembangan cadangan laluan pintas Kubang Semang ke PERDA bagi mengatasi kesesakan Jalan Permatang Nibong-Kubang Semang dan Jalan Kubang Semang-Bukit Mertajam.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata bahawa kajian berkenaan juga bertujuan menilai keberkesanan pembinaan laluan pintas atau jalan lingkaran luar dalam mengalihkan aliran trafik daripada jalan utama yang sedia padat.
“Aspek reka bentuk geometri dan kapasiti jalan turut diteliti termasuk keperluan bilangan lorong, jenis persimpangan serta ciri keselamatan pengguna jalan raya.
“Selain itu, kajian ini akan menyediakan data teknikal dan analisis anggaran kos sebagai justifikasi utama untuk mengangkat cadangan projek berkenaan ke dalam Rancangan Negeri Pulau Pinang (RNPP) bagi mendapatkan kelulusan peruntukan,” tambahnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT