Ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Perda wajar diterokai demi pelaksanaan visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Mohamed Haniff Khatri Abdulla dekat pejabat beliau di Komtar sebentar tadi.

Pertemuan selama 30 minit itu membincangkan mengenai perancangan jangka masa panjang serta ruang kerjasama yang boleh diterokai antara agensi Persekutuan berkenaan bersama-sama Kerajaan Negeri khasnya melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada masa akan datang.

Menurut Mohamed Haniff, fokus utama agensi berkenaan pada masa ini adalah untuk membangunkan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) serta pembangunan di kawasan Seberang Perai terutama di bahagian utara.

“Tiada sebarang masalah untuk pihak Perda dan Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama kerana kami (Perda) kini terlibat dalam semua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Malah, Timbalan Ketua Menteri I (Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman) merupakan salah seorang Ahli Lembaga dalam pengurusan Perda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pembangunan dirancang Perda adalah perlu selaras dengan visi Penang2030 yang turut menekankan aspek perumahan mampu milik, meningkatkan pendapatan rakyat serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

Turut menyertai kunjungan tersebut adalah Pengurus Besar Perda, Rosman Hashim; Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Nor Muslim Saad serta Pembantu Tadbir, Noor Hanita Che Ani.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI