Rumah baru, hadiah paling bermakna sempena 1 Syawal – Zulkifli

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BATU MAUNG – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim melahirkan rasa gembira kerana ‘Rumah Asnaf’ dekat Kampung Bukit Kechil khas untuk empat penerima berjaya disiapkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu, setiap ‘Rumah Asnaf’ kepada penerima, Abdul Aziz Kassim, Zulkifli Abdullah, Noryati Ismail dan Ruzila Jamaluddin masingmasing bernilai RM51,000.

“Empat penerima ini terpaksa pindah dari rumah lama mereka bagi memberi laluan pada pembinaan Masjid Jamek Batu Maung atau Masjid Umar Abdul Aziz.

“(Susulan itu) saya bersama-sama (jawatankuasa) kariah berusaha mendapatkan tanah sesuai dari Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD) dan mereka memberikan tanah untuk membina keempatempat rumah tersebut di sini (Kampung Bukit Kechil).

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan syukur kerana Masjid Jamek Batu Maung berjaya disiapkan mengikut masa ditetapkan, iaitu dua tahun bagi memudahkan komuniti umat Islam di Batu Maung,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Kunci ‘Rumah Asnaf’ kepada para penerima di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar ZPP, Azman Abdul Samat.

Penerima, ZULKIFLI ABDULLAH, 60, menganggap inisiatif ZPP serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membina rumah baharu itu sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan 1 Syawal.

“Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang menjayakan permohonan rumah ini terutamanya YB Malik (Abdul Malik), ZPP, Pejabat Daerah DBD, jawatankuasa kariah dan semua.

“Rumah ini pastinya memudahkan saya, memandangkan saya terpaksa menyewa di Bayan Lepas ditambah pula keluarga saya yang ramai,” jelasnya yang juga pesara ketika ditemui pemberita.

Nada kegembiraan serupa turut diluahkan oleh penerima lain, NORYATI ISMAIL, 50- an.

“Saya nak ucap terima kasih kepada ZPP dan insaninsan yang membantu saya selama ini bagi mendapatkan rumah baru,” kata Noryati.

Sejak awal tahun sehingga Julai 2016, difahamkan, ZPP telah membina 11 buah rumah dengan nilai agihan RM527,000. Manakala, kerja-kerja pembaikan rumah dalam tempoh sama pula meliputi 38 buah, dengan agihan sejumlah RM502,612.