Komtar dilengkapi 72 unit CCTV kini – Choo Hong

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : KOAY SHIAN HUAH

GEORGE TOWN – PDC Setia Urus Sdn. Bhd. (PDCSUSB), sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperuntukkan sejumlah RM484,000 bagi pemasangan 42 unit kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di sekitar bangunan Komtar dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat dan sistematik.

Ketua Pegawai Eksekutif PDCSUSB, Datuk Ir. Ang Choo Hong berkata, penambahan tersebut menjadikan jumlah CCTV sedia ada di sekitar bangunan Komtar berjumlah 72 unit berbanding 30 (unit) sebelumnya.

“Penentuan lokasi pemasangan berkenaan dibuat berdasarkan cadangan yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Penambahan CCTV ini akan menjadi peringatan kepada orang ramai bahawa mereka sentiasa diawasi, sekaligus mewujudkan persekitaran dan rasa selamat kepada pengunjung di Komtar,” ujarnya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Difahamkan, peruntukan (RM484,000) tersebut merupakan sebahagian daripada kos RM40 juta bagi menaiktaraf bangunan Komtar yang merupakan ikon negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, menurut Choo Hong, PDCSUSB turut mempunyai rancangan bagi memasang sebuah panel skrin bersaiz besar untuk paparan rakaman CCTV di Aras Tiga, Komtar menjelang hujung tahun ini.

“Cara ini dilihat lebih efektif bagi menghalang salah laku atau kegiatan jenayah, orang ramai dapat melihat sendiri paparan CCTV tersebut berbanding pemantauan pegawai bertugas di dalam bilik kawalan,” jelas beliau.