Rumah mampu milik selesa di Jln. SP Chelliah

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNExco Perancangan Bandar & Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebidang tanah 2.8 hektar di Jalan SP Chelliah bagi projek pembinaan rumah mampu milik di sini.

Langkah tersebut diambil selepas 0.45 hektar tanah untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Zainal Abidin di sini, telah dikenal pasti pada tahun 2010 untuk pembinaan pusat perubatan.

Hon Wai berkata, tanah di Jalan SP Chelliah adalah kira-kira tujuh kali ganda lebih luas jika dibandingkan tanah di Jalan Zainal Abidin.

“Tidak banyak dapat disediakan di tapak tanah Jalan Zainal Abidin kerana saiznya yang sangat kecil dan bagi membina PPR, kita memerlukan tempat yang lebih luas.

“Tapak di Jalan SP Chelliah telah dikenalpasti untuk projek pembinaan rumah awam dan pihak berwajib telahpun menjalankan kerja-kerja teknikal bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan,” kata beliau dalam sidang akhbar di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hon Wai turut menegaskan bahawa pemilihan Jalan SP Chelliah adalah logik ekoran kedudukan yang lebih strategik dan mempunyai akses perkhidmatan lebih baik termasuk balai polis, sekolah dan masjid.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa tapak tanah di Jalan SP Chelliah bakal dibina 660 unit rumah kos sederhana rendah, 330 unit rumah kos sederhana berkeluasan 850 kaki persegi (build up size), 330 unit rumah kos sederhana berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 8 unit rumah kedai dua tingkat.

“Jumlah unit adalah 1,328 dan cadangan ini termasuk pembinaan tempat letak kereta, dewan dan taman rekreasi.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan yang bukan sahaja mampu milik, malah selesa untuk didiami,” tegas Hon Wai.

WONG Hon Wai (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Wei Aik menunjukkan beberapa dokumen berhubung beberapa projek pembinaan rumah mampu milik yang bakal dibina di Jalan SP Chelliah di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ng Wei Aik menunjukkan beberapa dokumen berhubung beberapa projek pembinaan rumah mampu milik yang bakal dibina di Jalan SP Chelliah di sini baru-baru ini.