Warga St. Nicholas’ Home dirai

Admin

BAGAN JERMALBuat dua tahun berturut-turut, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menyampaikan sumbangan duit raya sempena Aidilfitri kepada para penghuni dan kakitangan St. Nicholas’ Home di sini.

Menurut Abdul Malik, beliau berharap agar sumbangan tersebut sedikit sebanyak menceriakan semua penghuni di ‘rumah’ berkenaan.

“Penyampaian sumbangan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan mana-mana golongan sama ada dalam keriangan mahupun waktu-waktu sukar.

“Terima kasih kepada St. Nicholas’ Home yang memberi peluang untuk saya sama-sama meraikan penghuni di sini buat tahun kedua,’’ katanya di depan 67 penghuni dan kakitangan St. Nicholas’ Home di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif St. Nicholas’ Home, Daniel Soon berkata, para penghuni amat berbesar hati dengan sumbangan yang dihulurkan.

“Terima kasih kepada Datuk (Abdul Malik) kerana beliau turut menaja belanja sahur bagi semua penghuni beragama Islam di sini.

“Kami di  St. Nicholas’ Home berharap tahun ini bukanlah tahun terakhir Datuk (Abdul Malik) menaja sahur untuk penghuni di sini,” ujar Daniel dalam nada berseloroh.

Di samping itu, salah seorang tenaga pengajar St. Nicholas’ Home, Yusoff Abdul Rahman berkata, penghuni di sini bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan, malah, mereka juga memerlukan sokongan moral seperti dilakukan Abdul Malik.

Tambah Yusoff yang cacat penglihatan sejak kecil, sumbangan yang diberikan digunakan sepenuhnya untuk melatih penghuni di sini, sama ada melalui hasil kraftangan atau untuk dijual seperti biskut dan kuih-muih.

Bagi Rosnani Abdullah, 30, beliau sangat bersyukur dengan pemberian duit raya tersebut yang bakal digunakan untuk menambah tabungan masa hadapan.

Abdul Malik turut meluangkan masa melawat kelas latihan dan fasiliti yang terdapat di St. Nicholas’ Home antaranya kelas anyaman, kelas urutan dan refleksilogi serta kelas memasak.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut, Muhamad Sayuti Omar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan wakil-wakil dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

ABDUL Malik Abul Kassim (depan, lima dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang penghuni St. Nicholas’ Home ketika kunjungan bagi menyampaikan sumbangan duit raya di sini baru-baru ini
ABDUL Malik Abul Kassim (depan, lima dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang penghuni St. Nicholas’ Home ketika kunjungan bagi menyampaikan sumbangan duit raya di sini baru-baru ini