Rumah Terbuka Deepavali wujud suasana harmoni

BUTTERWORTH – Sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun secara tidak  langsung mewujudkan suasana serasi dan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perayaan Deepavali secara simboliknya menandakan permulaan baru dalam semua aspek kehidupan.

“Inilah masanya kita bermaafmaafan sesama saudara-mara dan rakan taulan  tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, saya menyeru semua agar memupuk kesedaran rohani dan cahaya dalaman diri yang merupakan unsur yang akan melenyapkan halangan, kegelapan dan kejahilan.

“Semoga perayaan yang meriah ini akan sentiasa memperingatkan kita dan generasi akan datang bahawa hanya melalui pengorbanan mulia dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja kemenangan serta kemakmuran dapat dicapai semua,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang 2014 di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang.

Pada majlis tersebut, Guan Eng ditemani Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan isteri, turut menyalakan Kuttu Vilakku.