Kreativiti penjaja perlu di TMM 2015 – TKM I

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG KOTA – Kreativiti dan inovasi dalam aktiviti penjajaan di negeri ini,  sekaligus mampu mewujudkan jenama perniagaan tersendiri sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2015 yang turut giat dipopularkan Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga 2014 anjuran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini baru-baru ini.

“Dalam usaha memastikan negeri Pulau Pinang telah memimpin dalam semua  aspek, kita (Kerajaan Negeri) memerlukan peniaga-peniaga yang kreatif dan inovatif dalam mencari satu mekanisme baru supaya ia menjadi trademark penjaja di negeri ini,” katanya mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan perasmian majlis berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon  Yeow dan Dato’ Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) turut berucap pada majlis yang disertai hampir 1,000 tetamu itu.

Menurut Mohd. Rashid, Pulau Pinang dalam beberapa tahun ini pernah diiktiraf di peringkat dunia dalam pelbagai kategori meliputi bidang pelancongan, warisan, destinasi didiami serta makanan-makanan yang enak.

“Justeru, kaum penjaja dan peniaga seharusnya mengambil kesempatan untuk  memanfaatkan kesemua kelebihan yang ada di negeri ini demi memajukan perniagaan masing-masing,” katanya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Kemasyarakatan.

Sebelum itu, Kon Yeow turut memuji MPPP kerana dikatakan merupakan satu- satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih menganjurkan Hari Penjaja saban tahun.

“Penganjuran sambutan kali ini tidak lagi di hotel, tetapi secara terbuka di sini (Padang Kota Lama) menjadi suatu kelainan yang sebenarnya sesuai dengan realiti kaum penjaja berniaga secara terbuka di gerai-gerai disediakan MPPP di negeri ini.

“Syabas kepada MPPP kerana terus komited menghargai sumbangan penjaja untuk pembangunan ekonomi Pulau Pinang,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam pada itu, Patahiyah dalam ucapannya turut mengumumkan bahawa Kompleks Makanan Bukit Gedung dekat Batu Maung telahpun dipilih sebagai Johan Anugerah Medan Selera Selamat, Bersih Dan Sihat Peringkat Kebangsaan hasil pengauditan menyeluruh oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

“MPPP akan terus meningkatkan mutu gerai-gerai penjaja, manakala, kaum penjaja  juga perlu meningkatkan mutu perniagaan masing-masing secara kreatif dan inovatif,” seru beliau.

Pada majlis itu, seramai 35 penerima mengisi senarai pemenang bagi lapan kategori yang dipertandingkan pada peringkat pulau.