Rundingan kerusi berdasarkan hasil kajian sentimen pengundi, respons Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (kiri) dengan diiringi P. Ramasamy (kanan) dalam sidang media berkaitan di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini pada 9 April 2023.

PERAI – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan menetapkan tarikh rundingan baharu bagi memuktamadkan perkara berkaitan pengagihan kerusi yang melibatkan parti-parti dalam gabungan tersebut, dengan mengambil kira hasil kajian terbaru berhubung sentimen pengundi terhadap Kerajaan Negeri hari ini.

Selepas itu, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, barulah PH akan memulakan rundingan secara rasmi dengan gabungan parti politik Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan Jun nanti.

“Sepatutnya PH bermesyuarat pada minggu lepas tetapi kita ada satu agenda yang lebih mendesak iaitu menerima perbentangan kajian untuk melihat sentimen pengundi terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“PH, kita fokus kepada (hasil kajian terbaru) itu untuk menetapkan tarikh yang baru,” jelasnya yang juga Pengerusi Negeri PH Pulau Pinang dalam sidang media di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini pada 9 April 2023.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut sertai sidang media tersebut.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata bahawa pihaknya akan memastikan soal pengagihan kerusi dimuktamadkan pada peringkat parti-parti gabungan dalam PH terlebih dahulu sebelum memulakan rundingan lanjut secara rasmi dengan BN negeri.

“Takkan kita tidak memuktamadkan soal pengagihan kerusi sesama kita (PH), lalu mahu memulakan rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN),” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkara berkaitan, Kon Yeow turut mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berhubung PH dan BN sebulat suara untuk mengekalkan penyandang parti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Memang dalam (gabungan parti) PH sudah ada formula ini iaitu kerusi akan kekal dengan penyandang melainkan ada (cadangan) nak tukar.

“Jadi, apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Saifuddin adalah prinsip umum,” ulasnya lanjut sambil memeritahu bahawa pihaknya diberi masa selama sebulan bagi memuktamadkan soal pengagihan kerusi dengan BN negeri.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa proses rundingan kerusi adalah antara gabungan PH dan BN, bukannya antara parti-parti komponen dalam kedua-dua gabungan tersebut.

“Prinsip (penyandang parti kekal bertanding kerusi sama) ini masih dipegang (yang mana) apabila masuknya rundingan dengan Barisan Nasional (BN) selaku rakan dalam Kerajaan Perpaduan, maka prinsip ini adalah dengan Barisan Nasional (BN) dan bukan (antara) parti masing-masing.

“Jadi sebagai suatu gabungan parti politik (PH), kita berbincang (perkara berkaitan pengagihan kerusi) dengan suatu gabungan parti politik lain (iaitu BN),” katanya.

Kon Yeow memberi penjelasan tersebut seusai merasmikan dwi acara iaitu majlis pelancaran Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai dan Kempen Derma Darah di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD