Raja Permaisuri Agong puji komitmen Kerajaan Negeri dan MAINPP sedia kemudahan di Kompleks Darul Hanan

Admin

BERTAM – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa terharu dengan kelengkapan dan kemudahan kondusif yang disediakan di Kompleks Darul Hanan.

Tunku Azizah dalam pada itu turut memuji komitmen Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang menyediakan kelengkapan dan suasana kondusif untuk keselesaan 80 warga emas yang ditempatkan di Kompleks Darul Hanan.

“Saya amat terharu melihat segala kelengkapan yang terdapat di Kompleks Darul Hanan ini, dan ingin memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kelengkapan dan fasiliti serba lengkap di sini.

“Tahniah juga diucapkan kepada kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Yayasan Albukhary yang terlibat mengenai pengurusan di sini,” titah Tunku pada Majlis Perasmian Kompleks Darul Hanan di sini kelmarin.

TUNKU Azizah semasa bertitah diiringi Toh Puan Khadijah dan Puan Tan Lean Kee.

Hadir sama, isteri kepada Yang DiPertua Negeri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor bersama-sama isteri Ketua Menteri, YBhg. Puan Tan Lean Kee.

Serentak dengan majlis tersebut, Tunku Azizah turut berkenan menanam pokok dan menyertai sesi bergambar bersama barisan kakitangan Kompleks Darul Hanan sebelum turut meninjau keseluruhan kawasan dan kemudahan kompleks tersebut.

TUNKU Azizah berkenan menanam ‘Happiness tree’ di Kompleks Darul Hanan baru-baru ini.
GAMBAR menunjukkan Tunku Azizah berkesempatan beramah mesra bersama warga emas di kompleks berkenaan.

Kesempatan sama, Tunku Azizah berkenan meluangkan beramah mesra bersama warga emas yang berada di kompleks berkaitan dan menyampaikan sumbangan duit raya bersempena sambutan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Difahamkan, Kompleks Darul Hanan yang telah beroperasi sejak 1 Februari 2010 dan kini memberi perkhidmatan jagaan serta perlindungan kepada 80 penghuni berusia 50 sehingga 90 tahun serta dibantu oleh 41 kakitangan.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS