Runtuhan lereng Jalan Bukit Kukus: Sebarang keputusan mahupun tindakan hanya akan dibuat setelah laporan penuh dan lengkap diterima, respons Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu suatu laporan penuh dan lengkap daripada pihak berwajib berhubung insiden di tapak pembinaan jalan berkembar dekat Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, barisan Exco Kerajaan Negeri akan bermesyuarat pada hari Rabu ini (24 Oktober) bagi meneliti semua laporan yang telah diterima setakat ini.

“Sebagai makluman semua, laporan yang diterima sehingga ke hari ini adalah laporan awal dan bukannya suatu laporan penuh yang telah dimuktamadkan.

“Sebarang keputusan mahupun tindakan hanya akan dibuat setelah laporan penuh dan lengkap diterima,” ujarnya pada sidang media di Komtar sebentar tadi.

(Dari kiri); RAMKARPAL Singh, Jagdeep Singh Deo dan Yeoh Soon Hin pada sidang media di Komtar, tadi.

Menurut Jagdeep, sehingga ke hari ini, laporan yang diterima adalah laporan berlandaskan fakta semasa.

“Bagaimanapun, kita perlu menunggu sehingga usaha mencari dan menyelamat selesai memandangkan ia (mencari dan menyelamat) masih dijalankan sehingga ke hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran memberitahu, pihaknya telah meminta perunding dan kontraktor berwajib supaya menberikan laporan segera mengenai kejadian yang berlaku pada 19 Oktober 2018.

“Buat masa ini, MBPP sedang meneliti punca-punca berlakunya kejadian ini termasuk air larian permukaan yang mencari laluannya sendiri ke dalam tanah ditambun.

“Kekerapan hujan sejak beberapa hari sebelum kejadian juga dilihat menyumbang kepada peningkatan serapan air ke dalam tanah, lanjutan itu, kontraktor juga telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja melencongkan air larian permukaan ini dengan segara dan ia telah disiapkan pada pagi 20 Oktober 2018.

“Kerja-kerja melencongkan air larian permukaan ini penting demi keselamatan semua pihak terutama sekali pasukan yang menyertai operasi mencari serta menyelamat kini,” jelasnya.

Tambah Rajendran, kerja-kerja di tapak pembinaan tersebut telah diberhentikan berikutan notis berhenti kerja (SWO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) pada 13 Oktober 2018 bagi kejadian berasingan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin yang turut serta dalam sidang media itu berharap pihak-pihak tertentu bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

“Saya amat kesal dan berharap kerja-kerja mencari serta menyelamat dapat diselesaikan segera.

“(Dan) saya harap pihak-pihak tertentu, janganlah mainkan isu ini, tunggu sehingga laporan lengkap siap,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menzahirkan penghargaan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat yang bertungkus-lumus meneruskan misi mencari tiga lagi mangsa.

“Dipercayai, masih terdapat tiga lagi individu yang belum ditemui dan sehingga ketika ini, terdapat tujuh kehilangan nyawa yang disahkan.

“Selaku Ahli Parlimen bagi kawasan kejadian, saya akan sentiasa memantau situasi semasa,” katanya yang turut melawat ke tapak kejadian setiap hari.

GAMBAR rajah menunjukkan kawasan pembinaan jalan berkembar.

Berdasarkan laporan awal daripada MBPP, projek pembinaan Jalan Bukit Kukus berkenaan adalah melibatkan dua bahagian utama iaitu pembinaan jalan-jalan sambungan ke Jalan Bukit Kukus sedia ada di antara Lebuhraya Thean Tek dan Lebuh Bukit Jambul (main line) sepanjang lima kilometer, dan satu lagi pembinaan sambungan (link) dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon dikenali sebagai Tun Sardon Link sepanjang 600 meter.

Kerja-kerja pembinaan di main line dijalankan oleh tiga pihak iaitu MBPP, PLB Land Sdn. Bhd. dan Geo Valley Sdn. Bhd.

Manakala, kejadian dipercayai runtuhan tanah berlaku di bahagian yang sedang dibina oleh kontraktor MBPP iaitu Yuta Maju Sdn. Bhd. yang terletak di rantaian 3700 (CH3700) berdekatan Tun Sardon Link.

Kerja-kerja penambunan dan pemadatan tanah di CH3700 telah dibuat pada bahagian bercerun untuk laluan kerja dan difahamkan bahagian tepi cerun ini telah runtuh.

Pemerhatian awal mendapati bahawa terdapat 13 kabin berdekatan cerun yang runtuh. Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG