Struktur saliran di lima lokasi ‘hotspot’ banjir bakal dinaik taraf – Exco

Admin

SUNGAI DUA – Masalah struktur saliran di lima lokasi utama yang menjadi punca kejadian banjir di kawasan Parlimen Tasek Gelugor akan dinaik taraf, kata Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, tiga daripada lima lokasi terbabit adalah di kawasan Permatang Berangan iaitu di Kampung Desa Puri, Simpang Tiga serta Pengkalan Jarak, manakala dua lagi di Sungai Dua iaitu di Sungai Merbau Kudung dan Sungai Pengkalan Machang.

“Kerja-kerja menaik taraf melibatkan pembersihan dan pendalaman sungai, pembinaan parit pintasan, penyelenggaraan ban (parit) serta pembesaran saiz barrage (empangan rendah) bagi menampung lebih kapasiti air.

“Semua projek menaik taraf ini adalah untuk jangka masa pendek kerana pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah pun merangka perancangan rapi bagi penyelesaian jangka masa panjang yang memerlukan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak di lima lokasi berkaitan pada 21 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu, sehingga September lalu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.78 juta bagi melaksanakan 25 projek tebatan banjir di kawasan parlimen berkenaan.

“Kebanyakan sungai di negeri ini adalah hiliran dari negeri Kedah yang mana sekiranya mereka (Kedah) tidak menangani masalah banjir di sana, maka Pulau Pinang akan tetap mengalami banjir walaupun tidak berlaku hujan.

“Ini adalah salah satu masalah yang sedang kita hadapi,” katanya sambil menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga menegaskan, selain masalah sistem saliran, sikap penduduk yang gemar membuang sampah di merata-rata tempat juga menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir di negeri ini.

“Walaupun telah dinasihatkan berkali-kali tapi saya dapati masih banyak sampah dibuang ke parit dan sungai sehingga menyebabkan berlaku banjir.

“Kos penyelenggaraan untuk membersihkan sungai-sungai menjadi tinggi dan sudah tentu menggunakan wang cukai rakyat.

“Oleh itu, saya tekankan sekali lagi bahawa penduduk di negeri ini tidak boleh membuang sampah di merata-rata tempat,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD