RUU ‘Foodbank Malaysia’ akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini – Menteri

Admin

SEBERANG JAYA – Suatu Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Foodbank Malaysia akan dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini demi memastikan pelaksanaan program mengelak pembaziran lebihan makanan yang berkualiti boleh disalurkan kepada golongan terpilih secara berterusan dan berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masa telah tiba untuk membentangkan RUU itu memandangkan ketika itu Yayasan Foodbank Malaysia telah mempunyai rakan strategik yang luas, rantaian bekalan lebihan makanan daripada 430 pasar raya di seluruh negara serta logistik sokongan termasuk di kampus universiti awam.

“Ini, majlis peluncuran pertama Foodbank Siswa, dan kita pilih kampus UiTM Pulau Pinang kerana di sini lah kita mula laksanakan program di bawah Mutiara Foodbank dengan sokongan tak berbelah bahagi daripada Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Paling penting, program Foodbank ini bukan secara one-off, tapi secara berterusan…di Pulau Pinang ada lebih 37,000 penerima sementara di seluruh negara ada lebih 25,000 penerima.

“Hujung tahun ini, kita akan membentangkan Rang Undang-Undang berkenaan Foodbank ini yang akan mengandungi beberapa perkara tentang bagaimana harusnya kita tetapkan (pelaksaaan) projek ini.

“Kalau semua berjalan mengikut jadual, pada hujung tahun, kita akan mendapatkan sokongan Parlimen untuk menerima dan meluluskan suatu rang undang-undang menjadi Akta,” jelasnya di Dewan Besar UiTM Permatang Pauh di sini pada 23 Mac 2019.

Turut berucap, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Mutiara Foodbank Pulau Pinang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Pulau Pinang, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PPRIM), Datuk K.K. Sihabutheen Kirudu Mohamed yang juga penaja utama Program Foodbank Siswa Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Foodbank Malaysia, Abdul Wahab Long.

Saifuddin Nasution turut merakamkan penghargaan kepada pentadbir UiTM Pulau Pinang kerana telah membekalkan 800 nama siswa daripada kumpulan B40 untuk menerima bekalan makanan harian daripada program Foodbank ini, sementara 200 nama lain daripada pentadbir Politeknik Seberang Perai Tengah (SPT).

“Walaupun ini program sukarelawan, siswa yang menyokong pelaksanaan program ini nanti jangan sampai ponteng kuliah,” nasihat beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada PPRIM atas sumbangan sebuah lori untuk kegunaan Program Foodbank Siswa Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD