Sambut baik hasrat IPSI jayakan Visi Penang2030

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik hasrat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) untuk turut serta dalam menjayakan gagasan Visi Penang2030.

 

 

Menurut beliau, setiap pertubuhan khususnya pihak swasta pastinya dapat meneliti untuk memberi sumbangan dalam komuniti berdasarkan empat teras dan 16 tema yang digariskan melalui visi tersebut.

 

 

“Badan kerajaan, swasta dan masyarakat boleh meneliti konteks Penang2030 bagi menjadikannya sebagai satu kebiasaan demi mencapai matlamat bersama yang ditetapkan.

 

 

“Dengan ini, saya berharap pembangunan dalam pelbagai bidang dapat menjadikan Visi Penang2030 sebagai hala tuju, dan menjadi penyumbang mengikut kepakaran masing-masing dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang progresif.

 

 

“Pembangunan progresif yang dimaksudkan adalah pada aspek persekitaran, pendapatan rakyat, mutu hidup dan aspirasi negeri Pulau Pinang secara menyeluruh,” ujarnya pada sesi kunjungan hormat IPSI di sini tadi.

 

Hadir sama, Presiden IPSI, Datuk Kamarudin Abdullah; Timbalan Presiden IPSI, Mohamed Amir Shah Abdul Aziz; Setiausaha dan Pengurus Pentadbiran IPSI, Mohamad Hafiz Mohamad Tahir serta dua ahli jawatankuasa pertubuhan berkaitan, Janatul Firdaus Abdul Ghaffor dan Siti Sarah Tan Abdullah.

 

 

Pada pertemuan berkaitan, antara isu yang dibangkitkan oleh Kamarudin adalah penyertaan wakil Islam dalam Rumah Harmoni di Jalan Scotland dalam menangani salah faham tentang Islam dan melantik Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Penaung IPSI.

 

 

Bagi lantikan Ahmad Fuzi, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara tersebut perlu dibawa ke Pihak Berkuasa Negeri iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat TYT sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Exco.

 

 

Mengenai penyertaan dalam Rumah Harmoni, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa ia adalah di bawah portfolio Hal Ehwal Bukan Islam dan cadangan tersebut memerlukan perbincangan lanjut daripada pihak-pihak terlibat.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Ga,bar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI