Sambutan Hari Penjaja & Komuniti Peniaga, iktiraf sumbangan bakti ke arah pemantapan pembangunan ekonomi negeri

Admin
GEORGE TOWN – Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan saban tahun adalah sebagai satu pengiktirafan kepada golongan berkaitan dalam menyumbang bakti ke arah pemantapan pembangunan ekonomi negeri.
 
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga 2018 yang diadakan dekat Jalan Padang Kota Lama di sini 24 November lalu.
 
Menurut Kon Yeow, sambutan bertemakan ‘Bersih, Sedap dan Lazat’ tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha golongan peniaga serta komuniti penjaja dalam menyahut misi Kerajaan Negeri ke arah Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
 
“Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Pulau Pinang mempunyai jenamanya tersendiri dalam sektor pelancongan yang mana ia telah memberi limpahan rezeki kepada para penjaja dan komuniti peniaga di negeri ini.
 
“Malah, tidak dapat dinafikan, industri pelancongan makanan di negeri ini menjadi antara daya tarikan utama kemasukan pelancong ke Pulau Pinang.
 
“(Dan) secara tidak langsung, penjaja dan komuniti peniaga menyumbang kepada salah satu sektor mikro ekonomi negeri,” ujar beliau yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam memastikan segala infrastruktur dan kemudahan penjaja serta komuniti peniaga tersedia.
KETUA Menteri dan Ar. Yew Tung Seang (kanan sekali) mencuba ‘coconut shake’ istimewa menggunakan penyedut minuman kertas pada Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga dekat sini baru-baru ini.
 
Kon Yeow dalam pada itu juga berharap agar para penjaja dan komuniti peniaga di Pulau Pinang terus menjaga piawaian serta mutu makanan di samping mematuhi segala peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
 
“Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Dasar Larangan Warga Asing Memasak Masakan Tempatan Pulau Pinang dalam usaha menjaga kualiti makanan disediakan kepada pengunjung yang datang ke negeri ini.
 
“(Hal ini kerana), kita (Kerajaan Negeri) mahu memajukan lagi agenda pelancongan makanan Pulau Pinang agar terus memberi aspirasi terbaik kepada bukan sahaja dalam negara malah juga dunia luar,” katanya.
 
Dalam pada itu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu, pihaknya akan meneruskan tradisi sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga yang mula diperkenalkan pada tahun 1996.
 
“Sambutan ini adalah bagi menghargai sumbangan penjaja dan peniaga dalam menjana ekonomi di bandar raya ini.
 
“Saya juga percaya, dengan komitmen ditunjukkan oleh pihak Majlis (MBPP), hubungan baik yang dijalinkan dengan penjaja serta peniaga dapat meningkatkan lagi imej dan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.
 
“(Dan) ia bukanlah satu polemik atau retorik, tetapi dibuktikan dengan pelbagai pengiktirafan pihak luar terhadap Pulau Pinang,” jelasnya.
 
Menariknya, sambutan kali ini turut diserikan dengan aksi menarik Raja Teh Tarik.
KETUA Menteri turut tidak melepaskan peluang merakam gambar gerai pasembur yang unik.
 
Tahun ini, Kedai Kopi Sin Hoe Peng; KSPPB Heritage Cafe; Feringghi Grill Restaurant; Nasi Kandar Pelita serta restoran makanan segera, Mc Donalds (cawangan Golden Triangle) diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga .
 
Manakala, Pasar Malam di Pasar Awam Balik Pulau di bawah seliaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pondok Upeh dinobatkan sebagai pemenang bagi Pengurusan Pasar Malam Terbaik.
 
Buat julung kalinya juga, bagi Pengurusan Stesen Minyak Terbaik, Petronas di Jalan Dato’ Ismail Hashim diumumkan sebagai pemenang utama.
 
Bagi kategori Restoran Terbaik, Restoran Sushi King Sdn. Bhd. (cawangan Queensbay Mall) menerima Anugerah Gold bersama-sama Restoran Pelita Taman Sri Tunas (bagi Restoran Nasi Kandar Terbaik) dan Restoran KFC Komtar sebagai Restoran Makanan Segera Terbaik.
 
Sri Tanjung Cafe dan Hoshino Coffee pula dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Restoran Dalam Hotel Terbaik dan Kedai Kopi / Makanan Terbaik 2018 masing-masing.
 
15 pemenang lain turut menerima Anugerah Gerai Dalam Kompleks Makanan Terbaik bagi tahun ini.
 
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI