Sambutan Pesta Tanglung pupuk harmoni kaum

Tek & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Kira-kira 200 penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan pengunjung Pusat Membeli-belah Sunway Carnival menyertai kemeriahan sambutan Pesta Tanglung barubaru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dr. Afif Bahardin percaya bahawa penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam perayaan sebegini menunjukkan toleransi antara kaum di negeri ini.

“Semangat toleransi seperti ini yang kita (Kerajaan Negeri) mahukan dalam membangunkan negeri yang harmoni,’’ katanya selepas merasmikan sambutan anjuran Pejabat Pusat Khidmatnya dengan kerjasama pengurusan Pusat Membeli-belah Sunway Carnival di sini.

Sementara itu, di Pantai Jerejak, ADUNnya, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Ketua Menteri I mengedarkan lebih 200 paket kuih bulan sempena Perayaan Kuih Bulan dekat Astaka Pasar Awam Bayan Baru.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gan Ay Ling serta petugas-petugas Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mayang Pasir.

Difahamkan, penganjuran edaran kuih bulan merupakan tradisi tahunan dalam menyantuni masyarakat setempat.

“Ini merupakan acara tahunan dalam mendekati dan menyantuni bukan sahaja masyarakat Cina, malah juga lain-lain bangsa yang sama-sama memeriahkan perayaan kuih bulan,” jelas beliau.