MP serah sumbangan kepada keluarga mangsa lemas

Teks & Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh baru-baru ini menyerahkan cek sumbangan RM2,000 kepada keluarga Allahyarhamah Noor Afidah Jadidi, 30, yang dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berhampiran Jalan Paya Terubong di sini.

Mangsa yang merupakan seorang pekerja sebuah kilang di Bayan Lepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menunggang motosikal, dan dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan pulang selepas tamat syif malam.

Ramkarpal ketika ditemui menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Takziah di atas apa yang terjadi, diharap keluarga mangsa dapat terus tabah dengan ujian ini.

“Kita akan melihat bantuan apa yang diperlukan oleh keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka.

“Diharap sumbangan peruntukan yang disampaikan dapat meringankan beban keluarga mangsa mengadakan majlis pengkebumian,” katanya.

Ramkarpal ditemui ketika hadir menyampaikan cek sumbangan kepada keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Syerleena Abdul Rashid.

Cek sumbangan diserahkan kepada abang Allahyarhamah, Eddi Yusshairi Yajunas. Jenazah Allahyarhamah difahamkan akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.