Sambutan Ponggal KADUN Air Itam meriah, eratkan hubungan penduduk setempat

Admin

AIR ITAM – Pesta Ponggal dan Permainan Tradisional anjuran Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS) mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk di Desa Mawar dekat sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, sambutan yang diadakan buat tahun kedua berturut-turut di sini cukup meriah apabila penduduk di kawasan sekitar hadir meraikannya.

“Penganjuran perayaan peringkat KADUN (Air Itam) seperti ini dirasakan mampu memberi lebih banyak peluang kepada penduduk setempat khususnya kepada penganut agama Hindu untuk menyambut perayaan Ponggal bersama-sama.

“Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum sekaligus mengekalkan budaya masyarakat India,” ujarnya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan MHS, S. Thevara Nayagam; M. Muniandy (Pengerusi Persatuan MHS Pulau Pinang); Supramaniam (Pengerusi MHS Air Itam) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Thean Teik, Nyoh Lay Lan.

Selain dapat menikmati makanan tradisional kaum India, pengunjung juga berpeluang bermain permainan tradisional kaum India seperti kabaddi, kho-kho dan langdi.

Oleh : SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: ADUN