Golongan wanita perlu diberi peluang yang sama dalam semua aspek – ADUN

Admin

BATU UBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan menegaskan bahawa setiap wanita di negara ini wajar diberikan peluang yang sama seperti golongan lelaki terutamanya dalam aspek pekerjaan.

Katanya, ia berikutan peranan yang dimainkan oleh golongan wanita pada masa ini amat penting yang menyumbang kepada kelangsungan kehidupan seharian sama ada keluarga mahupun masyarakat.

“Ini bertepatan dengan tema (Hari Wanita) iaitu ‘Each for Equal’ yang menggesa kesaksamaan gender dalam semua aspek kehidupan,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban, dekat Queensbay Mall, pada 7 Mac lalu.

Hadir sama Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Mengulas lanjut, Kumaresan memaklumkan bahawa KADUN Batu Uban berjaya melepasi sasaran 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan di sektor awam sepertimana ditekankan oleh Kerajaan Negeri.

Difahamkan, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti ceramah, kuiz dan cabutan bertuah.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: G. REVATIC