Sambutan Tahun Baru Cina KADUN Sungai Pinang unik, berhibur sambil menderma rambut

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha yang diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam menganjurkan Pesta Amal Sempena Tahun Baru Cina 2019.

Manakan tidaknya, dalam kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina, orang ramai yang berkunjung ke Medan Selera Fishermen’s Wharf  bukan sahaja dapat berhibur bersama-sama keluarga, tetapi juga dapat menderma rambut sebagai tanda sokongan terhadap pesakit kanser.

“Tadi, saya difahamkan bahawa rambut-rambut yang dikumpul pada hari ini (16 Februari) akan dijadikan rambut palsu untuk dipakai oleh pesakit kanser yang keguguran rambut rentatan rawatan kemoterapi.

WAKIL daripada Persatuan Locks of Hope menunjukkan antara rambut yang didermakan pada Pesta Amal sempena Tahun Baru Cina KADUN Sungai Pinang dekat sini baru-baru ini.

“Usaha murni ini bukan sahaja sangat bermakna kepada pesakit kanser, malah juga kepada penderma yang menderma (rambut mereka) demi kebaikan.

“Syabas dan terima kasih atas usaha yang mulia ini, terima kasih juga kepada Persatuan Locks of Hope kerana menjayakannya,” ucapnya pada penganjuran berkaitan di sini baru-baru ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer yang juga berucap turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan usaha murni itu.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid serta pimpinan tempatan.

KALIGRAFI Cina yang mempunyai tulisan tangan Ketua Menteri turut dibida pada pesta berkaitan.

Terdahulu, Kon Yeow yang ditemani isteri, Puan Tan Lean Kee disambut meriah dengan paluan gendang Cina dan tarian singa serta berkesempatan menyempurnakan acara menggaul yee sang.

Malah,  kaligrafi Cina hasil tulisan tangan Ketua Menteri turut dibida bagi tujuan kebajikan pada pesta tersebut.

Pesta Amal anjuran Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang berkaitan turut mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jelutong, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Briged Wanita Sungai Pinang serta disokong oleh Pertubuhan Belia Sungai Pinang dan Tokong Lum Yeong Tong Yap.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : TAN KEAN MING