Exco rakam penghargaan KBS peruntuk RM4.1 juta, naik taraf padang hoki Bertam

BERTAM – Kementerian Belia & Sukan (KBS) memperuntukkan RM4,141,828 untuk kerja-kerja menaik taraf padang hoki sedia ada serta pemasangan lampu limpah dan beberapa kemudahan awam lain di Kompleks MPSP Bertam di sini.

Mengulas lanjut, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri, Steven Sim Chee Keong atas kelulusan peruntukan Persekutuan untuk projek penarafan berkaitan.

Menurut beliau, Tetuan Usaha Kita Bina Sd. Bhd. yang dilantik sebagai kontraktor akan memulakan kerja-kerja pemajuan mulai hari ini dan dijangka siap pada 17 Februari 2020.

“Sejak hujung tahun 2010, padang hoki di sini ditutup untuk kegunaan awam, maksudnya sudah hampir sembilan tahun ditutup kerana kemudahan di sini mengalami kerosakan.

“Di bawah Kerajaan Persekutuan baru (pasca 8 Mei 2018), akhirnya dana disalurkan melalui Jabatan Belia & Sukan untuk kerja-kerja penarafan stadium hoki ini,” jelasnya dalam Majlis Sidang Media Tapak Bagi Projek Cadangan Menaiktaraf Padang Hoki di sini pada 18 Februari 2019.

Menjawab soalan pemberita, Lip Chee memberitahu bahawa sehingga kini di Pulau Pinang terdapat tiga padang hoki iaitu dekat Universiti Sains Malaysia (USM), Kompleks Sukan MPSP Jalan Betik dan Bertam.

Namun, menurut beliau, gelanggang hoki di Jalan Betik masih dalam penyelenggaraan seperti projek penarafan gelanggang hoki di Bertam berkaitan.

Selepas itu, Soon Lip Chee diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Kahliq Mehtab Mohd. Ishaq dan wakil Konfederasi Hoki Malaysia Pulau Pinang turut menyaksikan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Puad Hamid menyerahkan surat pelantikan berwajib kepada pihak kontraktor berkenaan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: DARWINA MOHD DAUD