Sambutan Tahun Baru meriah penuh bermakna

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG KOTA – Kira-kira 100,000 ribu pengunjung hadir memenuhi Padang Esplanade di sini bagi meraikan ambang tahun baru 2014 bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Acara khas dianjurkan Kerajaan Negeri tersebut dihangatkan dengan kehadiran pemuzik dan artis tanah air seperti Bunkface, The Villianz, Pink Tan, Menifesto dan lain-lain.

Selain di Padang Kota Lama, turut berlangsung adalah di Padang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Persiaran IJM, Gurney Paragon, Times Square, Queensbay Mall dan Juru Autocity.

Tepat detik 12 tengah malam, puluhan das tembakan bunga api memeriahkan sambutan di seluruh
negeri sambil disusuli dengan sorakan gemuruh para hadirin.

Hadir di Padang Esplanade adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Guan Eng ketika berucap menyeru rakyat supaya terus menaikkan potensi negeri Pulau Pinang untuk
menjadi maju.

Malah, beliau turut menyatakan rasa kesal ekoran Kerajaan Pusat yang gagal mengawal kenaikan harga barang pada tahun ini.

Di Padang MPSP, kehadiran pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus ditemani Pengarah K.L Gangster iaitu filem yang berjaya memperoleh kutipan RM12 juta, Syamsul Yusof, pelakon Pierre Andre,  Kumpulan Nasyid Saujana dan pelumba kataegori Moto2 negara, Mohd. Hafiz Syahrin jelas menjadi tarikan utama generasi muda untuk berkumpul dan berhibur.

Antara topik menarik diketengahkan adalah pembabitan golongan wanita sebagai penarik filem.

Azhar menyatakan bahawa adalah tidak salah apabila seseorang wanita itu berlakon kalau mengikut syariat.

“Tetapi akan menjadi haram apabila mereka (wanita) tampil mendedahkan aurat, berpakaian seksi, dengan tujuan menarik penonton maka yang buat filem, yang menonton dan bersekongkol akan mendapat dosa,” jelasnya pada penganjuran Sembang Ambang 2014 di sini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Saleh Man, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul  Kassim dan Mohd. Rashid.

Dalam pada itu, di Persiaran IJM, persembahan pentas oleh artis-artis tempatan turut menghiburkan para hadirin yang hadir.