SAR Masjid Jamek Batu Maung dapat bangunan sendiri

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

MANSOR Othman (kanan sekali) menandatangani plat perasmian SAR Masjid Jamek Batu Maung sambil disaksikan oleh Abdul Malik Abul Kassim (tengah) dan Mohd. Fauzi Zubir (kiri sekali) sempena majlis perasmian bangunan baru di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kanan sekali) menandatangani plat perasmian SAR Masjid Jamek Batu Maung sambil disaksikan oleh Abdul Malik Abul Kassim (tengah) dan Mohd. Fauzi Zubir (kiri sekali) sempena majlis perasmian bangunan baru di sini baru-baru ini.

BATU MAUNG – Atas dasar ingin memperkasakan pendidikan agama dan pengajian fardhu ain, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) Masjid Jamek Batu Maung yang dahulunya hanya menumpang di ruang solat masjid berkenaan sehingga kini telah memperoleh bangunan sendiri yang mampu menampung sehingga 150 murid dalam satu-satu masa.

Menurut Pengerusi Qariah yang juga merupakan Pengerusi SAR Masjid Jamek, Ustaz Mohd. Fauzi Zubir, dengan penubuhan bangunan sekolah berkenaan, kini murid-murid dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa dan teratur. Malah tambah beliau lagi, kini, SAR tersebut dapat beroperasi seperti SAR lain yang terdapat di Pulau Pinang.

Beliau turut menyatakan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak pernah mengecewakan rakyat. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kerana telah merealisasikan penubuhan SAR tersebut.

Kini, SAR Masjid Jamek Batu Maung mempunyai 61 murid lelaki dan 52 murid perempuan serta tiga orang guru KAFA dan seorang mudir.

“InsyaAllah, kami akan beroperasi sepenuhnya tahun hadapan dengan lebih sistematik di mana kita akan perkenalkan sistem pendaftaran dan yuran sama seperti SAR lain,” ujar Ustaz Mohd. Fauzi pada majlis perasmian bangunan baru di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Abdul Malik Abul Kassim dan wakil-wakil JHEAIPP turut hadir pada majlis tersebut.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.75 juta setiap tahun bagi bantuan pendidikan dan pembangunan sekolah agama rakyat di Pulau Pinang. Malah peruntukan pendidikan di Pulau Pinang juga meningkat dari tahun ke tahun iaitu RM11.3 juta pada tahun lalu kepada RM12.0 juta pada tahun ini.